[DIKEMASKINI] Negara bangsa yang masih berliku

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

PEMBINAAN negara bangsa merupakan matlamat utama bagi sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta rakyatnya.

Menurut Hargue dan Harrop, bagi membentuk negara bangsa sesebuah negara itu perlu melalui empat peringkat terlebih dahulu iaitu bina negara; bina bangsa; penyertaan rakyat; dan pengagihan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Pembentukan negara bangsa merupakan satu perjuangan yang masih belum selesai, usaha intensif ke arahnya mula digerakkan selepas peristiwa hitam 13 Mei dan matlamatnya lebih jelas apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menekankan keperluannya semasa memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1991.

Pahit untuk ditelan tetapi itulah kebenarannya, negara bangsa masih jauh untuk direalitikan kerana kita masih dihantui pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.

Kita kini berada dalam bulan Ogos yang menjadi bulan yang amat penting bagi Malaysia kerana beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-62 tahun dan kemudiannya meraikan pula Hari Malaysia sebagai mengingati penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September.

Proses pembentukan negara berdaulat ini bukannya bermula setahun dua sebelum laungan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 bergema, ia sebenarnya telah melalui tempoh pembentukannya yang lebih panjang dari itu lagi.

Liku-likunya tajam dan onaknya juga mencengkam dengan menyaksikan tanah pertiwi ini telah dibasahi dengan banyak darah para pejuang ulung dan menguburkan ribuan jasad kaku yang terkorban mempertahankannya dari saat sebelum merdeka sehinggalah ke waktu ini.

Atas sebab itu selepas berjaya mengharungi cabaran mencapai kemerdekaan, pemimpin negara mula melihat kepada cabaran baharu iaitu bagaimanana membentuk acuan terbaik untuk membina negara bangsa.

Artikel Berkaitan:

Kerana acuan itu belum sempurna, lantaran itulah isu negara dan bangsa Malaysia masih menjadi wadah yang kerap didebatkan oleh ahli politik, golongan akademik dan rakyat biasa.

Mengapa masih gagal? Salah satu puncanya yang dapat penulis utarakan adalah kerana kegagalan kita menjadi seorang warganegara beradab pada sejarah negaranya sendiri.

Ini kerana jika seorang yang bergelar warganegara tidak beradab pada sejarah pembentukan negaranya sendiri, natijahnya lahirlah sekelompok individu-individu yang kurang adab yakni biadab pada negara.

Mereka biadab pada Perlembangaan Negara, biadab pada hak keistimewaan kaum lain, biadab pada kepercayaan dan anutan agama yang berbeza dan pelbagai lagi bentuk kebiadaban yang diperlihatkan tanpa rasa malu mahupun sesal.Inilah yang menjadi duri dalam daging untuk mencapai matlamat merealisasikan negara bangsa.

Hakikatnya sebesar rumah yang gah bermula dari sebiji bata dan ia boleh runtuh, roboh dan hancur dalam sekelip mata.

Negara ini adalah ‘rumah’ kepada orang Melayu, Cina, India dan rakyat Bumiputera di Sabah dan Sarawak justeru amat menyedihkan jika negara ini goyah kerana ada dalam kalangan kita sendiri yang menjadi anai-anai yang meratah sedikit demi sedikit tiang-tiang rumah hingga akhirnya tersembam roboh menyembah bumi

Ketika kita ingin membentuk negara ini dahulu, tolak-ansur adalah kunci utamanya dengan harapan generasi selepasnya dapat mengamalkan sikap toleransi atas ‘pengorban besar’ yang telah dibuat bagi memastikan keharmonian sentiasa terjaga.

Usah dipertikai mengenai Raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan, agama Islam dan seumpamanya lagi.

Apabila semua rakyat beradab pada sejarah negara, sedarilah bahawa kita selangkah semakin mendekati negara bangsa yang diidamkan.

* Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM