Curi beg duit: Kaki lalok diberkas polis

Chee Khoon (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
Chee Khoon (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis memberkas seorang 'kaki lalok' selepas terbabit dengan kes curi beg duit di tempat duduk hadapan sebuah lori dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Indah, Sekinchan di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian jam 2.45 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun sedang memunggah barang dari lori berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang membuat pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) milik pasar raya itu mendapati terdapat seorang lelaki mencurigakan menunggang sebuah motosikal damak mengambil beg duitnya yang berisi RM880 dan melarikan diri.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.

Chee Khoon berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sabak Bernam kemudian pergi ke lokasi di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang sebelum menahan suspek pada jam 12.30 tengah malam.

"Suspek yang memiliki 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu ditahan, selain ujian air kencing mendapati positif dadah.

"Turut ditemui, tiga telefon bimbit, cincin, peralatan pecah rumah dan motosikal yang digunakan suspek," katanya.

Tambahnya, suspek sebelum ini turut melakukan perbuatan sama di hadapan sebuah bank di pekan Sekinchan menyebabkan mangsa berusia 34 tahun kerugian RM1,500, pada 14 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/392 Kanun Keseksaan," katanya.