KHM intai kerjasama dengan universiti tempatan buka peluang pengajian

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal menyampaikan ucapan ketika hadir pada program ‘UPM Sports Academy Three Pulse’ di Universiti Putra Malaysia, semalam. - Foto Bernama
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal menyampaikan ucapan ketika hadir pada program ‘UPM Sports Academy Three Pulse’ di Universiti Putra Malaysia, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) bakal merangka perjanjian dengan beberapa universiti tempatan bagi membuka peluang kepada pemain hoki muda melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perjanjian dengan universiti tempatan penting bagi menjamin masa depan pemain hoki berkenaan untuk mendapatkan segulung ijazah bagi mencari pekerjaan pada masa akan datang.

“Mungkin dalam masa terdekat kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita dah kenal pasti lebih kurang beberapa buah universiti di setiap negeri yang mana akan memberikan, mungkin biasiswa atau peluang untuk pemain-pemain hoki ini dapat peluang diserap masuk ke dalam universiti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, Subahan menegaskan KHM sentiasa memperkasakan program pembangunan hoki di negara ini walaupun program 1MAS dihentikan sejak 2017 selepas kehabisan dana.

Beliau mendedahkan KHM meraih dana sebanyak RM11 juta daripada kerajaan terdahulu bagi tempoh 2010-2015, namun memaksimumkan penggunaan dana berkenaan sehingga 2017, hasil daripada urus tadbir kewangan yang cekap oleh kepimpinan KHM sedia ada.

“Saya beritahu Pengarah Pembangunan KHM, Tai Beng Hai untuk meneruskan program pembangunan (baharu) seperti ini (1MAS) yang melahirkan banyak bakat baharu seperti Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Muhd Akhimullah Anuar Esook.

“Bila orang bercakap KHM tidak buat program pembangunan, itu adalah tidak benar,” tegas Subahan.

Program 1MAS adalah cetusan idea bekas Presiden KHM terdahulu iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan projek pembangunan jangka masa panjang itu bertujuan melahirkan pemain elit muda serta bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: