Lihat pasukan udara diserang

Khairuddin menunjukkan gambarnya ketika menjadi tentera pada tahun 1965.
Khairuddin menunjukkan gambarnya ketika menjadi tentera pada tahun 1965.
A
A
A

SEREMBAN – Pengalaman melihat rakan yang membuat rondaan udara diserang musuh bagaikan percikan bunga api tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Begitulah luahan yang dikongsi bersama Kolonel (B) Mohd Ghazali Alias, 77, semasa menceritakan pengalamannya bertempur sewaktu berlakunya konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963 hingga 1966.

Menurutnya, sebaik sahaja ditauliahkan, beliau dihantar ke Pulau Sebatik, Sabah pada tahun 1965 dalam pasukan Bristh Green Army di unit artilary bagi memberi bantuan kepada pasukan sedia ada di situ yang bersedia menghadapi era konfrontasi.

Beliau yang ditugaskan di kawasan Kem Simandalan dan Simpang Tiga perlu mengawal perairan sempadan Pulau Sebatik yang sebelum ini telah berlaku pergolakan antara Malaysia dan Indonesia sebaik sahaja pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

“Semasa saya bertugas di situ, saya ditugaskan untuk menjaga meriam dan ditempatkan di sebuah kawasan tinggi bagi membolehkan saya melihat kedudukan musuh.

“Jarak antara dua tempat ini tidaklah jauh sangat kami sentiasa berhati-hati dan perlu berwaspada setiap masa memandangkan musuh juga sentiasa memerhatikan pergerakan kami.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila kawasan kubu kami dibom sebanyak tiga kali hampir terkena kawasan penempatan kami mujur nasib masih menyebelahi kami semua. Kami bangkit dan memberi serangan lawan semula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, atas arahan pegawainya beliau membuat serangan balas dengan membedil kawasan musuh dan membuat serangan bom sebanyak tiga kali.

Artikel Berkaitan:

Katanya, serangan itu mengenai tepat balai polis pihak lawan, jeti dan satu jatuh ke dalam laut.

“Kami tahu berita ini melalui laporan yang dikeluarkan oleh akhbar Indonesia yang sempat kami lihat dari situlah kami tahu bom yang saya lepaskan itu terkena di tiga kawasan tersebut.

“Kita bukan suka-suka nak lepaskan tembakan bom jika tidak diganggu tetapi mereka (musuh) pada ketika itu dikenali sebagai pasukan Tentera Nasional Indonesia menyerang kami terlebih dahulu jadi kita perlu bangkit untuk membuat serangan balas,” katanya.

Khairuddin (kanan) menunjukkan pingat dan gambar lama kepada Mohd Ghazali.
Khairuddin (kanan) menunjukkan pingat dan gambar lama kepada Mohd Ghazali.

Kendalikan enam meriam

Menurutnya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila melihat dengan mata sendiri pasukan udara mereka diserang oleh pasukan musuh dari bawah.

Katanya, pada ketika itu pasukan tersebut membuat rondaan, namun secara tiba-tiba mereka diserang tembak menembak berlaku antara pasukan udara dengan musuh yang berada di bawah.

“Bayangkan apa yang berlaku itu macam tengok bunga api, percikan api daripada senjata api sangat menakutkan dalam masa yang sama bimbang keselamatan pasukan udara kita itu.

“Sebaik sahaja kejadian itu berlaku, saya diarahkan untuk membuat tembakan di kawasan musuh yang menyerang berdasarkan data logistik yang diperolehi saya berjaya melepaskan bom, meriam di tempat musuh dan kami berjaya mematahkan mereka,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana semuanya pulang dalam keadaan selamat dan sebaik sahaja konfrontasi Malaysia-Indonesia tamat pada tahun 1965, beliau kemudiannya mengikuti operasi di Ulu Perak dan Ulu Selangor untuk membantu menentang komunis pada tahun 1973.

Menurutnya, semasa mengikuti operasi di Ulu Perak dan Ulu Selangor ini, beliau diminta untuk mengendalikan enam meriam berbanding di Pulau Sebatik hanya sebuah sahaja, namun semuanya diuruskan dengan mudah.

Sebaik semuanya berakhir beliau kembali semula ke Kem lakawi Kota Kinabalu Sabah sebagai Timbalan Komander sebelum menamatkan perkhidmatan pada tahun 1995.

Berbeza pula rakannya, Khairuddin Yunus, 73, beliau mula menyertai pasukan tentera ini semasa di bawah pemerintahan British, dan menyertai tentera British di Tanah Melayu pada tahun 1965.

Katanya, beliau yang berasal dari Kampung Lonek, Jempol memberitahu pada umur 16 tahun beliau memasuki Army Boy Street School pada tahun 1962 dan kemudian turut serta menghantar keperluan barang-barang ketenteraan di semua stesen tentera British di Sabah, Sarawak dan Kuantan.

Beliau kemudiannya menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera dan beralih menjadi anggota polis pada tahun 1975 sebagai Pegawai Penyiasat di Pulau Pinang.

“Saya tidak mempunyai banyak pengalaman bertempur dengan musuh tetapi saya dapat merasai bagaimana berkhidmat di bawah pemerintahan British, banyak suka duka yang dilalui yang hanya akan disimpan sampai bila-bila," katanya.