Pas harap proses penyiasatan tidak pilih kasih

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap agar proses penyiasatan dan penangkapan pihak yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan bangsa dibuat secara adil tanpa pilih kasih.

Katanya, ini kerana bukti menunjukkan sentimen perkauman sejak akhir-akhir ini turut dicetuskan sendiri menteri Kabinet dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya secara dasarnya mengalu-alukan dan menyokong penuh ketegasan pihak polis bahawa tiada lagi amaran terhadap individu yang mencetuskan ketegangan kaum, agama dan bangsa.

“Bagaimanapun, tindakan yang bakal diambil nanti haruslah dibuat secara adil, bukannya menyasarkan pihak-pihak tertentu sahaja.

“Umum mengetahui kebanyakan kenyataan sensitif sebelum ini dilakukan sendiri oleh pemimpin kerajaan dan sehingga kini tiada tindakan diambil walaupun telah beratus-ratus laporan polis sudah dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak yang cuba menyentuh sensitiviti perkauman, bangsa dan agama, sebaliknya semua pihak termasuk pemimpin politik akan disiasat dan ditangkap serta-merta.

Menurut Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, pihak berkuasa perlu melihat kepada akar umbi atau pihak yang terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi bukannya sekadar menyasarkan rakyat bawahan semata-mata.

Terdahulu, Abdul Hamid turut mengingatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan agenda pihak-pihak tertentu yang cuba mencetuskan ketegangan dengan menyentuh isu agama, kaum dan bangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau telah mengarahkan anak-anak buahnya untuk menyiasat segera kes yang melibatkan keagamaan dan kaum bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.