Khidmat nasihat kewangan percuma untuk PKS, pembeli rumah

Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus - Foto BERNAMA
Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan khidmat nasihat kewangan serta khdimat cadangan secara percuma kepada perusahaan kecil dan sederhana serta pembeli rumah yang gagal memperoleh pinjaman bank.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Khidmat Nasihat Kewangan (MyKNP) bermatlamat meningkatkan pengalaman pemohon pembiayaan termasuk memberi pemahaman lebih baik mengenai faktor yang menjejaskan permohonan pembiayaan selain membantu meningkatkan kelayakan untuk memperoleh pembiayaan pada masa depan.

“Inisiatif MyKNP ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kredibiliti kewangan pengguna bagi mengurangkan jurang maklumat antara pengguna dan institusi kewangan,” katanya pada pelancaran MyKNP di sini hari ini.

Dalam ucapannya Shamsiah berkata RM152 bilion pembiayaan diluluskan kepada PKS pada separuh pertama (H1) 2019, meningkat daripada RM149 bilion pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

MyKNP adalah inisiatif usaha sama BNM, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan ekosistem pembiayaan.

Sementara itu, pinjaman perumahan berjumlah RM78.5 bilion diluluskan dalam H1 2019 yang memberi manfaat kepada lebih 180,000 peminjam.

Beliau menasihatkan supaya pembiayaan pinjaman kepada PKS dan pembeli rumah perlu digunakan secara berhemat dan bertanggungjawab.

Ini bertujuan memastikan peminjam tidak meminjam melepasi keupayaan mereka sehingga menyebabkan perniagaan atau individu menghadapi masalah kewangan atau beban, katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsiah berkata PKS dan peminjam yang berpotensi juga perlu bertanggungjawab dalam menilai kemampuan mereka bagi memenuhi komitmen kewangan.

Sementara itu, Gabenor itu juga mengumumkan penambahan kepada Dana RM1 bilion bank pusat untuk Rumah Mampu Milik bertujuan membantu pembeli rumah dari kumpulan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama mereka.

Penambahbaikan, yang akan berkuat kuasa pada 1 September itu melibatkan pengembangan kriteria kelayakan.

Pendapatan isi rumah bulanan maksimum dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300, manakala harga hartanah maksimum dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM150,000 sebelumnya. - Bernama