Mahkamah kekal hukuman mati mekanik bunuh teman wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang mekanik atas kesalahan membunuh teman wanitanya lima tahun lepas.

Penel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P Ravinthran sebulat suara menolak rayuan Mohd Afizi Abdul Rahman terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

"Kami berpandangan sabitan kesalahan adalah selamat," kata Hakim Yaacob yang mempengerusikan panel tersebut.

Beliau berkata, rayuan Mohd Afizi tidak mempunyai merit yang membenarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Mohd Afizi, 32, pada mulanya dituduh dengan tuduhan cubaan membunuh Saliza Saidin, anak perempuannya yang ketika itu berusia dua tahun dan anak perempuan jiran Saliza yang berusia dua bulan di flat kos rendah di Setapak Jaya, Sentul, Kuala Lumpur antara 1 pagi dan 1.30 pagi pada 21 Januari 21, 2014.

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2014, dia dituduh membunuh Saliza, 29, yang meninggal dunia akibat kecederaan bakar yang teruk pada 1 Februari 2014, 11 hari selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Afizi kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan cubaan membunuh kanak-kanak dan bayi itu setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen pada 2014.

Dia diperintah menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 22 Januari 2014.

Artikel Berkaitan:

Menurut fakta kes, Mohd Afizi telah ke rumah si mati untuk mengajaknya keluar makan tetapi si mati menolaknya. Mereka telah bergaduh sebelum Mohd Afizi beredar meninggalkan flat itu.

Ibu Saliza memberi keterangan bahawa beliau nampak Mohd Afizi datang semula ke flat itu dan masuk ke bilik anaknya dan kemudian nampak api membakar bilik tidur itu.

Dalam keterangannya, beliau berkata, Saliza telah memintanya menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak itu yang juga berada dalam bilik itu, manakala anaknya merangkak keluar dari bilik.

Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan oleh ibu Saliza dan cuba memadamkan api yang membakar tubuh anaknya dan mereka kemudiannya dihantar ke hospital.

Peguam Affifudin Ahmad Afifi mewakili Afizi manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mengendalikan pendakwaan.

Mohd Afizi mempunyai satu lagi peluang untuk membuat rayuan iaitu di Mahkamah Persekutuan. - Bernama