Satu kes pasang Jalur Gemilang terbalik dikesan di Kuantan

Abdul Rahim (dua dari kanan) dan Hamdan memeriksa bendera Malaysia yang dipasang pada program Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kemerdekaan di premis-premis perniagaan di sekitar bandar hari ini.
Abdul Rahim (dua dari kanan) dan Hamdan memeriksa bendera Malaysia yang dipasang pada program Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kemerdekaan di premis-premis perniagaan di sekitar bandar hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menerima satu laporan berhubung pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Perkampungan Sungai Isap beberapa hari lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan dan meminta pihak pengurusan premis terbabit mengemukakan surat tunjuk sebab berkaitan perkara itu.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini pihak tersebut tidak memberi sebarang maklum balas berhubung isu pemasangan bendera Malaysia terbalik di premis perniagaan mereka.

“Surat meminta mereka (pihak premis itu) berikan penjelasan sudah dihantar dan kira berikan tempoh selama tiga hari untuk mereka menjawab.

“Kalau ikutkan tempoh itu akan berakhir esok dan kita masih menunggu surat penjelasan daripada mereka sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya. pada sidang akhbar selepas melakukan Pemantauan Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kemerdekaan di premis-premis perniagaan di sekitar bandar hari ini.

Pemantauan itu dilakukan bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abdul Rahim Muda.

Beberapa hari lalu, pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Perkampungan Sungai Isap telah menggantungkan dua daripada tiga bendera secara terbalik di hadapan premis perniagaan mereka.

Gambar itu telah dirakam orang ramai sebelum ia tular di laman sosial Facebook.

Artikel Berkaitan:

Namun, pada 19 Ogos lalu, pihak premis tersebut telah menurunkan bendera berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebook rasmi miliknya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata sekiranya pihak berkenaan gagal mengemukakan surat terbabit, tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 171 (1976) boleh dikenakan.

Jelasnya, bagi kesalahan ini, kompaun boleh dikenakan sehingga RM500 kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu.

“Kita juga meminta orang ramai untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat bendera yang dipamerkan tidak mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, sebanyak 50 peratus premis yang telah memasang Jalur Gemilang di tempat mereka menjalankan perniagaan.

Katanya, justeru peringatan mesra telah diberikan kepada mereka supaya memasang bendera seperti mana pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

“Pihak PBT telah mengeluarkan pekeliling bagi pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 September ini.

“Malah, kita harap menjelang 31 Ogos nanti semua premis bukan sahaja di seluruh Kuantan tetapi juga di seluruh negeri Pahang akan memasang bendera seperti yang sepatutnya,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya gagal berbuat demikian lesen perniagaan mereka boleh ditarik oleh MPK.

Tambahnya, MPK mempunyai kuasa untuk berbuat demikian jika notis dan kompaun telah dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar sebanyak tiga kali berturut-turut.