Kerosakan lif berulang, salah siapa?

Nik Ali bersama Hussin melihat lif rosak di Blok E.
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah lif rosak sudah tidak asing lagi dalam kalangan penghuni kebanyakan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Malaysia.

Namun, masalah lif rosak bukan sekadar menyebabkan saban hari penghuninya terpaksa ‘merangkak’ naik turun tangga bahkan lebih menggerunkan turut mengakibatkan kecelakaan ketika terperangkap di dalamnya.

Terbaru pada 2 Ogos lalau, lapan individu cedera apabila lif dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari tingkat lima di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, manakala empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki.Wartawan Sinar Harian meninjau ke beberapa flat PPR untuk mendengar keluhan penghuni flat mengenai lif uzur yang kini mengancam nyawa mereka.

Menurut penghuni PPR Kampung Baru Air Panas Setapak di ibu negara, mereka sudah lali dengan keadaan lif rosak yang berulang kali dibaiki di perumahan bertingkat itu sejak beberapa tahun lalu.

Seorang pekerja pembersihan di bangunan itu V Malica, 57, menceritakan semula detik cemas apabila nyaris menjadi korban lif uzur apabila lif tiba-tiba terjatuh secara mengejut dari tingkat 17.

Malica menunjukkan lif dinaikinya yang menyebabkan dia cemas baru-baru, ini.
Malica menunjukkan lif dinaikinya yang menyebabkan dia cemas baru-baru, ini.

“Saya bersendirian menaiki lif untuk mengambil sampah di tingkat paling atas ketika itu. Tiba-tiba di tingkat 17, lif turun dengan pantas ke tingkat 16, mujur ia tidak terhempas ke tingkat paling bawah,” katanya.

Bekas Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Hussin Yussuf berkata, sebuah lif di blok B juga menakutkan apabila pergerakan tidak lancar dan selalu terhenjut-henjut.

“Keadaan itu menakutkan penduduk yang menggunakan lif tersebut setiap hari. Tidak dinafikan apabila terdapat aduan kerosakan, pihak kontraktor segera menjalankan kerja-kerja baik pulih namun masalah seperti ini tetap berulang,” katanya.

Hussin berkata, keadaan lif di bangunan tersebut sebelum ini agak teruk.

“Sebelum ini, ada penduduk kencing dan berak di dalam lif. Ia menyebabkan lantai lif rosak dan kotor. Setelah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu sudah tiada,” katanya.

Seorang penduduk Blok E, Nik Ali Yaacob, 56, penduduk juga berhadapan kesesakan apabila terpaksa menggunakan sebuah lif yang masih berfungsi, lebih-lebih lagi pada waktu puncak.“Bayangkan jika berlaku kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, pasti menyusahkan mereka,” katanya.

Nik Ali berkata, sikap segelintir penduduk yang membawa motosikal menaiki lif juga dipercayai menjadi salah satu punca kerosakan kemudahan itu.

“Perbuatan itu boleh menyebabkan lif yang sudah berusia cepat rosak dan menyusahkan penghuni secara keseluruhan.“Saya pernah menegur sikap penduduk itu, namun mereka memberi alasan khuatir motosikalnya hilang jika diparkir di bawah PPR ini,” katanya.

Penduduk Norhashimah Rejab 55, berkata, dia tidak pernah ada pengalaman tersangkut dalam lif tetapi perkara itu selalu terjadi di PPR itu.

“Penduduk terpaksa memanggil pihak berkenaan untuk menyelamat mereka yang terperangkap. Lif juga akan berhenti secara tiba-tiba dan membuatkan penduduk panik,” katanya.

Tinjauan Sinar Siasat ke bangunan 17 tingkat itu mendapati, lapan blok mempunyai 24 buah lif, daripada jumlah itu terdapat dua lif di Blok E tidak berfungsi sejak dua bulan lalu manakala sebuah lif di Blok D turut rosak.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia