Penduduk tertekan, lif sering rosak

Penghuni Blok B, PPR Padang Hiliran kini mengalami masalah lif kerana dua lif berfungsi secara manual.
Penghuni Blok B, PPR Padang Hiliran kini mengalami masalah lif kerana dua lif berfungsi secara manual.
A
A
A

MASALAH kerosakan lif dialami penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu bukan sebulan dua malah berlarutan sejak sekian lama.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami keperitan penghuni yang berdepan masalah itu sejak sekian lama.

Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM mendapati ada antara penghuni sudah biasa turun naik tangga berbelas tingkat untuk ke kediaman masing-masing dan situasi itu lebih membebankan penghuni yang uzur dan sakit.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di Kuala Terengganu sepatutnya mempunyai sembilan unit lif untuk digunakan oleh 1,200 unit rumah di tiga buah blok bangunan di perumahan itu, namun setakat ini hanya lima buah lif yang berfungsi di mana tiga daripadanya perlu digerakkan secara manual manakala hanya dua lif yang berfungsi secara automatik.

Seorang penduduk, Muhammad Hafiz Mohd Sadi, 36, yang tinggal di Blok B perumahan itu berkata, masalah kerosakan lif begitu dirasai oleh penghuni di blok tersebut kerana hanya dua lif yang berfungsi, namun perlu digerakkan secara manual.

Muhammad Hafiz
Muhammad Hafiz

Katanya, terdapat seorang atau dua orang sukarelawan dalam satu-satu masa yang ditugaskan menunggu untuk menekan butang lif sekiranya terdapat penghuni yang meminta untuk berbuat demikian melalui medium komunikasi aplikasi mudah alih, WhatsApp yang ditubuhkan penghuni perumahan itu.

“Untuk keseluruhan lif yang berfungsi secara manual terdapat seramai 10 orang sukarelawan yang menunggu di dalam lif untuk menjaga lif sekiranya ada dalam kalangan penghuni yang mahu turun atau naik.

“Jika terdapat permintaan untuk turun atau naik, ia akan dimaklumkan melalui WhatsApp grup penghuni dan akan ditekan oleh sukarelawan.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana lif ini tidak dapat bergerak turun ke bawah secara automatik. Jika sekiranya tiada sukarelawan yang menunggu dan orang yang naik lif sebelum itu tidak menekan butang G (ground), maka lif itu akan kekal di level itu dan tidak akan bergerak ke mana-mana level lain.

“Kita terpaksa pula mencari lif di setiap level kerana ramai yang sedang menunggu dan mahu gunakan lif berkenaan,” katanya.

Menurut Muhammad Hafiz, masalah itu semakin ketara sekiranya terdapat penghuni yang sakit atau uzur ingin ke hospital atau terdapat kes-kes kecemasan.

“Masalah ni paling ketara jika ada kes pesakit yang mahu dapatkan rawatan segera. Memang jadi rumit kalau tak tahu lif ada di tingkat berapa.

“Untuk sukarelawan ini mereka pun tidak boleh jaga sepanjang 24 jam kerana terpaksa bergilir-gilir dan terutama pada waktu puncak,” katanya.

Katanya lagi, masalah itu juga membebankan terutama pada waktu pagi ketika ingin menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja.

“Biasanya kita akan keluar setengah jam lebih awal atau lebih awal lagi bagi memastikan tidak bertembung dengan orang yang lebih ramai.

“Namun biasanya walaupun keluar rumah lebih awal kita tetap kena menunggu giliran lama dan ia sudah sebati dengan penduduk di sini,” ujarnya yang tinggal di tingkat 12 sejak 2014.

Suhaida
Suhaida

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suhaida Saludin, 43, berkata, dia pernah turun naik tangga dari tingkat 16 kerana lif tidak berfungsi dan terpaksa menunggu terlalu lama.

“Sebelum duduk sini saya tak sakit lutut dan pinggang, namun selepas beberapa kali turun naik tangga lutut mula sakit dan pinggang juga rasa ada masalah.

“Pernah juga berlaku kes di mana salah seorang anak penghuni di sini pengsan selepas naik tangga untuk ke rumahnya. Kebetulan budak itu ada asma dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya.

Senada dengan Suhaida, Hazura Sidek, 48, berkata, masalah lif rosak membebankan keluarganya kerana suaminya, Mohd Rahim Abd Hamed, 59, mengalami masalah saraf serta beberapa komplikasi penyakit yang memerlukan rawatan.

Hazura
Hazura

“Suami selalu perlu ke hospital untuk ambil ubat namun masalah kerosakan lif ini menyukarkan pergerakan untuk keluar masuk rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Hasan Mamat, 24, berkata, dia pernah menunggu lif di situ dalam tempoh lama kerana mahu menghantar makanan.

“Biasanya kalau pesanan saya terima dari tingkat empat atau lima saya akan naik tangga sebab tak mahu menunggu lama.

Hasan
Hasan

“Kalau pesanan dari tingkat lebih tinggi saya akan tunggu juga lif sebab tak larat nak panjat tangga,” katanya.

Pengurusan PPR sudah hantar surat lapor masalah kerosakan lif

Sementara itu, pihak pengurusan PPR Padang Hiliran telah menghantar surat kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk memberitahu masalah yang dialami penduduk.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang, masalah lif rosak yang dialami penduduk itu sudah dalam pengetahuan pihak berwajib namun pihaknya belum menerima sebarang maklum balas.

Zabri
Zabri

“Masalah lif ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan paling ketara berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.

“Sebenarnya setiap blok telah lulus pemasangan lif di mana satu dari tiga lif telah dipasang di setiap blok. Dua lagi akan dipasang selepas ini.

“Lif yang sudah siap dipasang masih tidak boleh beroperasi dan tidak boleh digunakan kerana perlu menunggu surat kelulusan dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

“Walaupun ada lif yang sudah siap dipasang, mereka tidak menukar mana-mana bahagian yang rosak dalam lif yang sedang digunakan ketika ini,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, setakat ini yuran penyelenggaraan yang perlu dibayar penghuni perumahan itu sebanyak RM50 menjadikan jumlah bayaran penuh setiap sebulan termasuk sewa rumah sebanyak RM178.

“Setakat ni ada yang tertunggak sebulan, dua tiga bulan, ada yang lima enam bulan bahkan ada segelintirnya tidak bayar selama setahun.

“Itulah serba sedikit gambaran terhadap pelbagai kategori keluarga yang menginap di sini. Ada yang tiada kerja selepas dibuang kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang asal datang sini kerana rumah mereka dirobohkan untuk pembangunan, misalnya penduduk yang tinggal di Tanjung,” ujarnya.

Menurut Zabri, pihaknya telah menguruskan proses permohonan pemilikan rumah bagi 1,200 keluarga yang tinggal di situ.

“Kita harap setelah rumah ini dipindah milik penghuni di sini akan lebih bertanggungjawab terhadap kediaman masing-masing dan masalah-masalah yang dialami ini dapat diselesaikan,” katanya.