Kes Altantuya: Kerajaan bangkitkan empat persoalan undang-undang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mahu Mahkamah Persekutuan menentukan persoalan undang-undang sama ada ia (kerajaan) akan bertanggungjawab dalam tort di bawah Akta Prosiding Kerajaan 1956 apabila pegawai awam melakukan kesalahan membunuh.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman hari ini memohon Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memasukkan kembali (kerajaan) sebagai defendan dalam saman yang difailkan keluarga model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

Beliau memohon mahkamah menentukan empat persoalan undang-undang yang adalah persoalan novel iaitu yang pertama dibangkitkan mengenai liabiliti kerajaan bagi pembunuhan yang dilakukan oleh ejen atau pekerjanya.

Soalan itu adalah:

  • Sama ada kerajaan bertanggungjawab dalam tort di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 apabila pegawai awam melakukan kesalahan membunuh?
  • Sama ada pembunuhan adalah punca tindakan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Undang-Undang Sivil 1956?
  • Sama ada pendakwaan terhadap kesalahan membunuh oleh pegawai awam di mahkamah jenayah akan menyebabkan kerajaan bertanggungajwab di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil?
  • Sama ada pembunuhan adalah tort?

Peguam Ramkarpal Singh, mewakili keluarga Altantuya dan dua anak lelakinya, membantah bagi permohonan kebenaran untuk merayu, dengan menyatakan ia bukan persoalan novel.

Beliau berkata kerajaan adalah bertanggungjawab kerana pada masa itu, dua anggota polis tersebut merupakan ejen kerajaan ketika mereka melakukan pembunuhan itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah yang mengetuai panel itu bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk P. Nallini menangguhkan permohonan itu pada 22 Ogos.

Shaariibuu Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman pada 4 Jun 2007 menuntut pampasan RM100 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Abdul Razak didakwa bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006, tetapi beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu pada bulan Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu tetapi pembebasan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka, berikutan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 14 Mac 2018, sekali gus memasukkan kembali kerajaan sebagai pihak dalam saman itu. -Bernama