Tembak anjing liar: Persatuan pencinta haiwan gesa siasatan

Kim Hooi (tiga dari kiri) bersama ahli-ahli persatuan pencinta haiwan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Kim Hooi (tiga dari kiri) bersama ahli-ahli persatuan pencinta haiwan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
A
A
A

KUANTAN - Kejadian beberapa ekor anjing liar mati ditembak di Kotasas pada minggu lepas menimbulkan kemarahan persatuan pencinta haiwan di daerah ini.

Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Kuantan dan I Furkids Home menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membunuh haiwan berkenaan.

Pengerusi I Furkids Home, Tan Kim Hooi berkata, mana-mana pihak atau orang ramai tiada kuasa untuk membunuh haiwan sesuka hati dan menyebabkan penganiayaan.

Menurutnya, hanya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) boleh mengambil tindakan menyelesaikan kes anjing liar berkeliaran di taman perumahan tetapi bukan dengan cara kejam menembak dan membunuh.

"Pada 15 Ogos lalu, gambar-gambar anjing liar ditembak mati tersebar di laman sosial Facebook. Kami ke lokasi dan menemui bangkai anjing yang mati dan terdapat beberapa lagi bangkai di dalam hutan berhampiran.

"Tindakan tersebut amat kejam dan tidak berperikemanusiaan," katanya pada sidang media di Pusat Komuniti DUN Semambu hari ini.

Beliau berkata, pihak polis, Jabatan Veterinar dan pihak berkaitan harus mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian berulang.

"Laporan polis sudah dibuat dan kami gesa siasatan dilakukan supaya pesalah segera diberkas.

Artikel Berkaitan:

"Haiwan-haiwan ini tidak boleh sesuka hati ditembak dan dilindungi di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.