Pengurusan kes pecah amanah bekas Setiusaha Agung FAS 30 September

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Mahkamah Sesyen menetapkan 30 September ini sebagai tarikh pengurusan kes pecah amanah melibatkan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Razali Dolhan.

Kes itu didengar hari ini di hadapan Hakim Marutin Pagan untuk membolehkan pihak pendakwaan menyediakan dokumen di bawah Seksyen 51A Akta Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah juga menetapkan 26 hingga 28 November sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan.

Hari ini merupakan sebutan bagi kes pecah amanah melibatkan penyelewengan dana FAS berjumlah RM191,298.70.

Mengikut pertuduhan, Razali, 49, didakwa dengan curangnya melakukan transaksi berjumlah RM139,920; RM21,378.70 dan RM30,000 pada Januari hingga Februari 2017.

Terdahulunya, kes itu dikendalikan oleh Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

Namun, Dayang menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan berikutan beliau mengenali Razali serta keluarganya.

Penarikan diri ini juga bertujuan untuk memastikan integriti prosiding dipelihara serta mengelakkan kemungkinan berat sebelah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kes kini dikendalikan oleh Hakim Marutin Pagan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof.

Tempoh ikat jamin bagi Razali pula dilanjutkan sehingga pengurusan kes berlangsung pada tarikh berikutnya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad pada 2 Ogos lalu atas tiga pertuduhan penyelewengan dana FAS yang dilakukannya pada 2017.

Razali yang kini merupakan ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Razali diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan dan dia diarahkan untuk melaporkan diri ke balai polis dua minggu sekali. - Bernama