Sampel minyak dihantar ke Jabatan Kimia

Azman meninjau proses baik pulih di stesen minyak terbabit.
Azman meninjau proses baik pulih di stesen minyak terbabit.
A
A
A

SERDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan menghantar sampel bahan petroleum yang diperoleh daripada stesen minyak Petronas di Lebuhraya Besraya kepada Jabatan Kimia untuk siasatan.

Ia susulan kejadian yang tular membabitkan kira-kira 20 buah kenderaan yang mati selepas mengisi minyak di stesen tersebut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Azman Adam berkata, sampel ini sebagai satu prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan petroleum yang dijual di stesen terbabit menepati ciri-ciri petroleum yang sebenar tanpa sebarang campuran bahan lain seperti diesel dan air.

"Sampel ini akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

"Kita terima berita yang tular pagi tadi sebelum menghantar pegawai untuk pemeriksaan. Ini tindakan awal kita dan pihak stesen minyak juga memberi kerjasama yang baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di stesen minyak tersebut, tadi.

Beliau berkata, buat masa ini, stesen minyak ini akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan secara dalaman serta proses mengeluarkan minyak dalam tangki untuk proses pemulihan selesai dijalankan.

Mengulas tentang berita yang tular bahawa petrol yang diisi ke dalam kenderaan itu telah tercampur dengan air, Azman berkata, ia masih belum dapat dipastikan.

"Kita tak boleh nak kata betul atau tidak. Tunggu laporan rasmi dari Jabatan Kimia dulu. Kita akan hantar sampel ini secepat mungkin dan minta untuk disegerakan laporannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga mengesahkan terdapat 20 laporan telah diterima pihaknya. Namun tidak menolak kemungkinan akan berlaku tambahan laporan berhubung kejadian.

Tambahnya, orang ramai yang mengalami kejadian sedemikian diminta untuk membuat laporan kepada pihaknya di pejabat terdekat untuk tindakan segera.

"Kita akan panggil pemilik dan pekerja premis ini untuk rakam keterangan.

"Malah kita juga akan lihat sama ada kes ini akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 atau Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.