Pekerja kilang maut bertembung motosikal lawan arus

Anggota polis ketika melakukan siasatan berhubung kemalangan berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kilang perabot maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang melawan arus di Jalan Lebuh Cemerlang, Taman Desa Cemerlang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Hew Teck Fey, 36, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Jalan Lebuh Cemerlang menghala ke Jalan Ehsan Jaya, Taman Desa Cemerlang.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki yang datang dari arah hadapan secara melawan arus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal jenis Honda Wave yang merupakan lelaki berusia 27 tahun itu pula mengalami kecederaan di kepala, patah tangan kanan dan patah kaki kiri. Dia dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati ia merupakan laluan dua lorong dan kejadian dilaporkan berlaku di lorong kanan.

“Lokasi kejadian juga diterangi lampu jalan dengan permukaan jalan kering dan cuaca baik. Bagaimanapun, polis dimaklumkan laluan ini masih belum dibuka untuk pengguna jalan raya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia