Polis utama keharmonian masyarakat berbilang kaum

Kamarudin (tengah) ketika berucap pada sidang media di sini hari ini.
Kamarudin (tengah) ketika berucap pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebarang pelaksanaan atau penganjuran ceramah agama di negeri ini perlu dipastikan tidak akan mengakibatkan keruntuhan moraliti dan perseteruan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Perkara itu dipegang utuh Polis Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian kaum terlebih dahulu sekali gus menolak sebarang agenda yang boleh menjadi pencetus kepada masalah itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, ia juga merupakan kesimpulan dibuat berhubung penganjuran majlis agama yang membabitkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada mahu melarang atau membenarkan Dr Zakir mengadakan ceramah umum adalah terletak pada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Di peringkat kita (Polis Johor), saya akan beri nasihat dan pandangan sewajarnya kepada JAINJ terutama dalam aspek keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10 jam rekod keterangan Zakir Naik

"Sehingga kini juga, kita tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menjemput beliau.

“Namun sebarang program kita tidak akan benarkan kerana tidak mahu wujudkan kontroversi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kamarudin berkata, sehingga kini pihaknya juga sudah menerima sebanyak 244 laporan yang dibuat ke atas penceramah itu.

Menurutnya, perkara sedemikian perlu diambil kira memandangkan ia melibatkan pelbagai aspek terutama isu keselamatan dan keharmonian kaum.

"Saya akan pastikan dan meneruskan agenda yang menjurus ke arah keharmonian masyarakat dan tidak mahu ada unsur yang menjejaskan keharmonian kaum serta agama di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Polis Johor juga sudah bertindak menahan seramai 34 individu di negeri ini yang dipercayai terbabit dengan kegiatan keganasan sejak 2015 hingga tahun lalu.

"Ancaman (keganasan) tetap ada, namun dengan keupayaan pasukan terutama Cawangan Khas di Johor, kita yakin aktiviti itu dapat dikawal," katanya.