Pilih kerajaan perkara serius: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin - Foto Bernama
A
A

IPOH - Golongan muda terutama yang akan mengundi pada umur 18 tahun perlu diberikan bimbingan dalam memilih kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keputusan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun perlu dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi memberi kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencorak kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Titah baginda, memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung kepada yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan malah penilaian dalam memilih perlu diasaskan kepada pemikiran rasional berteraskan fakta dan bukan sentimen serta emosi.

"Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dan mungkar, arif membezakan antara fakta dan fitnah serta bijaksana mengenali antara permata dan kaca.

"Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Hadir mengiringi baginda ialah Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohammad Naim Yaakub dan Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Zairon Mustapha.

Dalam pada itu, baginda bertitah, golongan itu juga perlu dibimbing supaya memahami erti dan amalan demokrasi yang membina sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen-elemen wajib dimiliki pemimpin.

Titah baginda, susulan pindaan umur mengundi itu, menjelang PRU15 jika diadakan pada 2023, seramai 7.8 juta pengundi baharu dijangka terdaftar secara automatik iaitu peningkatan lebih 50 peratus bilangan pengundi berdaftar semasa PRU14.

Sultan Nazrin bertitah, diunjurkan dalam PRU15, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun.

Menurut baginda, keadaan itu menunjukkan golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk menentukan kerajaan dan memilih pemimpin.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia