Anggota tentera ialah wira Malaysia

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lalu kecoh satu Malaysia apabila seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin dalam laman blognya menghina anggota tentera dengan melabelkan mereka sebagai hanya makan dan tidur.

Kenyataan sinis itu disambut dengan kemarahan daripada rakyat negara ini terutamanya anggota dan juga bekas anggota tentera yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air daripada pelbagai ancaman sejak dahulu lagi.

Meskipun ahli perniagaan tersebut sudah pun meminta maaf secara terbuka tetapi apa yang dikatakan itu meninggalkan kesan pedih dalam hati anggota dan bekas anggota tentera.

Menyentuh mengenai pengorbanan anggota tentera, mungkin generasi muda masa kini kurang mengetahui pahit maung perajurit dahulu mempertahankan tanah air.

Pada era Perang Dunia Kedua, kita melihat bagaimana Leftenan Adnan Saidi dan pasukannya mempertahankan tanah air daripada pendudukan tentera Jepun sehingga beliau sendiri terkorban ketika bertempur di Bukit Candu, Singapura pada 14 Februari 1942.

Begitu juga dengan pengorbanan perajurit-perajurit lain mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis bermula selepas pendudukan Jepun sehinggalah pengganas komunis meletakkan senjata pada Disember 1989.

Begitu juga dengan ancaman konfrontasi oleh Indonesia pada 1962 hingga 1966 akibat bantahan penubuhan Malaysia pada waktu itu.

Begitu juga ancaman pengganas Sulu di Sabah pada 2013.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh itu ramai anggota keselamatan kita gugur sebagai perwira negara, ramai isteri menjadi balu dan ramai anak kehilangan bapa.

Walaupun kini negara sudah aman, tetapi ancaman tidak boleh dijangka. Dunia kini diancam oleh kumpulan-kumpulan militan yang boleh menyusup masuk ke negara ini sekiranya anggota tentera kita tidak berkawal.

Di kawasan-kawasan sempadan negara, mereka berkawal 24 jam, tujuh hari seminggu bagi memastikan kita semua dapat tidur dengan nyenyak dan hidup dengan aman.

Kepada mereka yang memandang rendah pengorbanan anggota tentera dan pasukan keselamatan yang lain, belajarlah sejarah negara dahulu dan janganlah mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi malu kepada diri sendiri.