Tulisan jawi: Kain rentang tiada kebenaran Jabatan Pendidikan

Kain rentang bantahan tulisan jawi dan seni khat dilapor dinaikkan di beberapa sekolah vernakular di sekitar Rawang, Batu Caves dan Bandar Baru Bangi sejak tiga hari lalu.
Kain rentang bantahan tulisan jawi dan seni khat dilapor dinaikkan di beberapa sekolah vernakular di sekitar Rawang, Batu Caves dan Bandar Baru Bangi sejak tiga hari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kain rentang berkaitan isu tulisan jawi dan seni khat yang dipasang di beberapa sekolah di negeri ini tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Selangor.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, beliau berharap sekolah terlibat membincangkan isu itu setelah pekeliling berkaitan tulisan jawi dan khat dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebarang poster berkaitan tidak boleh dipasang dan pihak terbabit perlu merujuk mana-mana (kenyataan) media yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan atau pihak KPM,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, kain rentang bantahan tulisan jawi dan seni khat dinaikkan di beberapa sekolah vernakular di sekitar Rawang, Batu Caves dan Bandar Baru Bangi sejak tiga hari lalu.

Di Rawang, tiga sekolah dikesan menggantungkan kain rentang itu iaitu sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan dua lagi di SJK Cina.

Difahamkan kesemua kain rentang itu masih digantung sehingga kini sebagai menyuarakan pendirian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menolak pelaksanaannya seperti diputuskan kementerian.

SJK Tamil Batu Caves adalah sekolah pertama dikesan menggantungkan kain tentang yang menulis 'Kami dari pihak PIBG tidak menyokong dan tidak akan mengajar seni khat dan tulisan jawi', namun kain rentang itu didakwa sudah diturunkan Rabu lalu.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu membuat keputusan mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun 2020 diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun KPM berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh PIBG, ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas kepada murid tahun empat mulai tahun 2020, murid tahun lima pada 2021 dan murid tahun enam pada 2022 di sekolah jenis kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lagi sekolah pasang kain rentang bantah tulisan jawi