Isu Zakir Naik: Pas letak tiga asas perlu dihormati

Abdul Hadi Awang
A
A

MARANG - Pas meletakkan tiga asas yang perlu dihormati dalam isu membabitkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang kini dikatakan telah mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mengikuti dengan cermat perkembangan isu Zakir dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan yang dilihat boleh mengeruhkan suasana.

Menurutnya, Pas berpandangan terdapat tiga asas penting yang perlu dihormati dan diberi perhatian segera semua pihak termasuklah pihak berkuasa, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), pengamal media serta Zakir sendiri bagi menjernihkan keadaan.

"Pertama, budaya debat dan dialog adalah ruang demokrasi perlu dihormati. Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah dan berhikmah, demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’.

"Pihak Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) dan kerajaan negeri wajar memberikan ruang supaya budaya dialog ini dapat disuburkan sebagaimana yang telah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan tempoh hari.

"Kedua, perpaduan masyarakat majmuk adalah kerukunan hidup perlu dipelihara dan ketiga, jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa," katanya dalam satu kenyataannya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara.

Katanya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini.

"Pas dan pendukung Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini dan terbuka untuk berdialog dengan semua pihak di atas prinsip kebenaran," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir juga adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun.

Menurutnya, hak keselamatan itu juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam.

Sehubungan itu katanya, kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan terhadap keselamatan itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia