Peranan institut wanita di Perak diperluas

May Ing (dua, kiri) menyerahkan replika cek sumbangan keseluruhan bernilai RM150,000 kepada wakil-wakil NGO.
May Ing (dua, kiri) menyerahkan replika cek sumbangan keseluruhan bernilai RM150,000 kepada wakil-wakil NGO.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan memperluaskan peranan institut wanita yang ditubuhkan pada tahun hadapan kepada golongan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

Exco Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata, ia bertujuan untuk memperkasa golongan tersebut, bukan hanya golongan wanita semata-mata.

Menurutnya, institut itu menjadi badan pemikir kepada kerajaan negeri dengan menyediakan pelbagai program, kursus dan bengkel.

"Ini akan membantu secara spesifik untuk kumpulan sasaran melalui penganjuran pelbagai program. Pada peringkat awal kita hanya nak tubuhkan khas untuk wanita tetapi saya melihat wanita ini sinonim dengan keluarga kerana seorang wanita, dia juga nak jaga warga emas, jaga kanak-kanak dan juga OKU.

"Mereka semua ini harus berada di bawah satu bumbung. Kebetulan semua golongan ini juga di bawah portfolio saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kepada 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak di Bilik Mesyuarat Utama Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, May Ing berkata, pihaknya juga akan menumpukan bidang penjagaan warga emas memandangkan Perak mempunyai populasi warga emas paling tinggi di Malaysia.

Menurutnya, penjaga atau pengendali warga emas profesional di negeri ini masih tidak mencukupi dan pihaknya merancang untuk melatih golongan wanita, ibu tunggal serta golongan muda untuk terlibat dalam penjagaan warga emas.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah cabaran bagi kita bagaimana kita nak sediakan penjaga profesional untuk jaga warga emas. Sekarang ramai yang mampu bayar (perkhidmatan penjagaan warga emas) tetapi tak ada perkhidmatan.

"Jadi bagi bidang ini kami ada satu inisiatif untuk bantu wanita, ibu tunggal dan golongan muda dalam bidang ini dan rancang bagaimana nak adakan kursus untuk mereka dapatkan kemahiran dan boleh masuk ke bidang ini tanpa bergantung kepada tenaga kerja asing," katanya.

Beliau berkata, di Perak terdapat banyak pusat atau rumah warga emas yang memerlukan kakitangan dan peluang ini perlu diperluas kepada orang tempatan.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 50 NGO di Perak menerima RM3,000 daripada kerajaan negeri bagi membantu mereka menjalankan program masing-masing.