Tiada permohonan PDF daripada Lynas: MB Pahang

Wan Rosdy menjawab soalan tambahan daripada Chean Chung mengenai isu PDF di Sidang DUN hari ini.
Wan Rosdy menjawab soalan tambahan daripada Chean Chung mengenai isu PDF di Sidang DUN hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat sekiranya ada permohonan daripada syarikat memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, itu asas dan pendirian kerajaan sebelum memberi kelulusan sesuatu projek.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada sebarang permohonan dan perbincangan sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau wakil syarikat itu mengenai isu berkaitan cadangan PDF untuk sisa buangan Water Leached Purification (WLP) kilang Lynas di Gebeng.

“Kita tidak menerima apa-apa permohonan lagi... kalau ada permohonan kita akan beri perhatian dan pertimbangkan dengan mengambil kira keselamatan rakyat.

“Jika ia tidak mendatangkan masalah, kita boleh beri kebenaran berdasarkan keputusan yang telah buat oleh pakar-pakar dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA)... seandainya mereka (pakar) kata ok kita akan ikut, begitu juga jika mereka kata sebaliknya,” katanya pada mesyuarat kedua penggal kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Lee Chean Chung (PKR- Semambu) yang bertanya tentang lima tapak PDF di beberapa daerah yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, projek Lynas yang diwujudkan di negeri ini adalah cadangan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) supaya pelaburan ini dilaksanakan di negara ini.

“Jadi Pahang mengambil peluang ini tetapi lesen Lynas dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan: