1,709 pelajar positif dadah

Zulkifli menandatangani plak sebagai gimik merasmikan bilik gerakan hotline AADK.
Zulkifli menandatangani plak sebagai gimik merasmikan bilik gerakan hotline AADK.
A
A
A

KAJANG - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan seramai 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 lokasi 'panas' seluruh negara terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kebanyakan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun didapati mengambil dadah jenis methamphetamine yang dipercayai diperoleh daripada pengedar jalanan.

Menurutnya, pemeriksaan telah dibuat bermula Januari hingga Oktober lalu membabitkan 41,741 pelajar di lokasi panas terbabit.

"Sebanyak empat peratus atau 1,709 daripada jumlah ini dikesan positif urin yang mana jumlah tertinggi dicatatkan di negeri Sarawak, Kedah dan diikuti Kelantan.

"Bila kita kesan permasalahan ini, kita akan perkasakan lagi pendidikan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan pelajar," katanya.

Terdahulu, Zulkifli melancarkan talian Hotline AADK 24 jam sebagai satu medium awal bagi orang awam melaporkan setiap isu berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing dan mendapatkan khidmat nasihat berkaitan rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK.

Orang awam boleh menghubungi talian 03-89112233 atau 019-6262233 sekiranya memerlukan khidmat nasihat atau melaporkan aktiviti salahguna dadah.

Dalam pada itu, pihaknya turut melaksanakan ujian saringan di jabatan kerajaan termasuk di AADK serta swasta bagi mengatasi masalah penagihan di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak bantu dan selamatkan mereka yang ada masalah, bukannya mencari salah seseorang. Itu tujuan utama saringan sebegini dilaksanakan. Di AADK sendiri kita telah laksana ujian saringan ini dan empat orang telah kesan positif dadah.

"Pemeriksaan sebegini akan dibuat dengan lebih agresif," katanya.

Selain itu Zulkifli mendedahkan, majoriti penagih dadah kini cenderung mengambil dadah methamphetamine disebabkan faktor harga yang murah, kesan yang lebih cepat dan mudah diperoleh.