Amanah Kedah sokong larangan ceramah Zakir Naik

RIDZWAN
RIDZWAN
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mempertahankan pendirian dinyatakan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang melarang ceramah Dr Zakir Naik diadakan di negeri ini.

Pengarah Komunikasinya, Ridzwan Abu Bakar berkata, tindakan itu amat wajar buat masa ini berdasarkan kepada situasi terkini berhubung isu terbabit.

Menurutnya, ini menyebabkan pihak berkuasa agama perlu menimbangkan semula kebenaran yang pernah diberikan kepada Zakir sebelum ini.

"Pada April lalu, Zakir dibenarkan menyertai program di Universiti Utara Malaysia (UUM), ini jelas menunjukkan Kedah bukan 'alergik' pada Zakir,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ridzwan berkata, ada pihak turut mempersoal apa kesalahan Zakir sehingga tidak dibenarkan berceramah di negeri ini.

“Saya percaya Dr Ismail selaku Exco Agama amat memahami kaedah dan tindakan atas polisi atau dasar yang sesuai termasuk mengambil tanggungjawab selaku pemimpin ke atas rakyatnya dengan pertimbangan maslahah,” katanya.

Menurutnya, keharmonian, keamanan dan pengurusan kepelbagaian secara baik adalah maslahah utama yang harus dipertahankan.

"Boleh jadi Zakir tidak bersalah, namun ada pihak cuba ambil kesempatan atas insiden di Kelantan untuk marakkan api perkauman dan agama di Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan pihak terbabit untuk menawarkan Stadium Darul Aman untuk Zakir adalah jawapannya,” katanya merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya yang bersedia tawarkan Stadium Darul Aman sebagai pentas ceramah Zakir.

Ridzwan turut bertanya kepada Pas Kedah sama ada kehadiran Zakir ke Kedah adalah satu keutamaan sehingga perlu dipolemikkan.

“Saya andaikan, kalaulah tidak kerana ‘sambil menyelam boleh minum air’ pasti pihak yang mahu tawar stadium untuk Zakir pun tidak berminat anjur dialog beliau,” katanya.

Menurutnya, semua pihak wajar melihat kesan daripada program Zakir di Kelantan dan menilai sendiri sama ada keharmonian kaum tergugat sekiranya Zakir dibenarkan berceramah di Kedah.

“Bukankah kenyataan Zakir di Kelantan mencarik keharmonian itu? Mungkin disebabkan itu, Perlis turut tidak benarkan beliau berucap di negeri itu. Bukan kerana benci dan batil, tetapi kerana maslahah,” katanya.

Ridzwan berkata, suhu politik negara semakin hangat setelah berlaku berbalas kenyataan antara beberapa pihak yang tidak senang dengan kehadiran Zakir, dan kemuncaknya adalah insiden ‘menghalau’ antara kedua pihak.

“Zakir mempunyai metodologi dakwah tersendiri, dalam bentuk perdebatan dan dialog antara agama dan ideologi. Metodologi itu diterima secara pro dan kontra oleh masyarakat Muslim dunia, termasuk di India,” katanya.