Kes denggi meningkat 311 peratus di Kelantan

Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU – Kes denggi di negeri ini meningkat sebanyak 311 peratus sehingga 10 Ogos berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 2,414 kes berbanding 776 kes pada tahun 2018.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, dalam tempoh itu terdapat empat kes kematian dicatatkan berbanding satu kes tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga kini 251 episod wabak denggi telah dilaporkan di negeri Kelantan berbanding 59 episod wabak dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Sehingga kini sebanyak 87 lokaliti wabak denggi yang aktif dikesan seluruh negeri Kelantan. Hasil pemeriksaan ke atas 280,003 premis atau kediaman mendapati sebanyak 9,113 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Kami juga telah mengeluarkan 1,692 kompaun yang bernilai RM846,000. Di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, jika pemeriksaan di kediaman seseorang itu terdapat pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan (tiada rayuan pengurangan).

“Sebanyak 694 Notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes,” katanya dalam kenyataan ketika program gotong-royong komuniti Kampung Surau Kota.

Dr Zaini berkata, peningkatan kes ini dijangka berterusan sekiranya masyarakat masih tidak peduli untuk memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, sehingga kini hasil pemeriksaan pasukan kesihatan ke atas rumah kediaman amat mengecewakan kerana masih terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes ditemui di sekitar dalam dan luar rumah kediaman penduduk walaupun pelbagai usaha, hebahan dan peringatan telah diberikan sebagai langkah pencegahan.

Beliau berkata, orang ramai disarankan untuk mengamalkan aktiviti pencegahan termasuk meluangkan waktu selama 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan bekas berpotensi untuk pembiakan aedes di dalam dan luar kawasan rumah, menggunakan ubat pemusnah jentik-jentik (abate) di dalam bekas takungan air kekal jika tidak digunakan melebihi seminggu, menggunakan penyembur ubat nyamuk ‘aerosol’ bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah atau memasang jaring halus di tingkap dan pintu kediaman masing- masing.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia