Industri halal dicadang letak bawah Kementerian Pembangunan Usahawan

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Usahawan mencadangkan pembangunan industri halal diletakkan di bawah kementerian itu untuk menyelaraskan usaha dalam membangunkan industri tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, perkara itu kini dalam peringkat perbincangan yang diadakan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, urusan pensijilan halal terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan piawaian standard Malaysia oleh MITI.

“Apa sahaja bentuk keputusan selepas perbincangan itu, kementerian akan terus fokus mengenal pasti usahawan dari sudut membangunkan mereka dalam industri halal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak cadangan Hab Pemborongan Tekun Nasional di Platinum Mall, Jalan Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai di kementeriannya membuat senarai menggunakan data daripada TEKUN, SME Bank dan Bank Rakyat untuk melihat sama ada usahawan luar bandar telah memperoleh sijil halal.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat dengan Majlis Halal Malaysia untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan usahawan luar bandar diberikan kemudahan untuk mendapat sijil halal.

"Tekun Nasional sedang berbincang dengan Jakim untuk memudahkan pengeluar makanan di negara ini mendapat sijil halal.

"Langkah ini akan dapat membantu menambah pengeluaran produk halal tempatan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia