Kilang plastik kitar semula ancam kesihatan penduduk

Antara yang hadir menyertai demonstrasi bantahan di Taman Songket Indah petang tadi.
Antara yang hadir menyertai demonstrasi bantahan di Taman Songket Indah petang tadi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 100 aktivis alam sekitar menggesa kerajaan negeri menutup sebuah kilang plastik kitar semula yang beroperasi berdekatan kawasan perumahan, Taman Songket Indah di sini.

Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi berkata, lokasi kilang yang didakwa beroperasi tanpa kelulusan itu hanya berjarak kira-kira 15 meter dari penempatan penduduk.

Menurutnya, kilang berkenaan didakwa mengeluarkan asap busuk sehingga berisiko sesak nafas dan menjejaskan kesihatan.

"Kami mahu kerajaan tutup dan roboh kilang ini, saya tertanya-tanya bagaimana ia boleh beroperasi dalam kawasan perumahan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai demonstrasi bantahan yang dianjurkan di hadapan kilang terbabit, bermula kira-kira 5.30 petang tadi.

Memorandum diserahkan Kok Fooi (tiga dari kiri) kepada Khairil Nizam (tiga dari kanan) selepas tamat demonstrasi.
Memorandum diserahkan Kok Fooi (tiga dari kiri) kepada Khairil Nizam (tiga dari kanan) selepas tamat demonstrasi.

Antara yang hadir memberikan sokongan, Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid, Ketua Wanita MIC Kedah, S Jayasumthari, Ketua Wanita MCA Sungai Petani, Linda Yee Mei Nah dan Ketua Pemuda UMNO Sungai Petani, Mohd Rahmat Darus.

Kok Fooi berkata, penduduk bimbang berlakunya masalah kesihatan serius sehingga mengakibatkan kematian terutama membabitkan kanak-kanak kerana asap yang dilepaskan disyaki mengandungi bahan kimia berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, kilang berkenaan dimaklumkan telah disita sebelum ini tetapi ianya masih beroperasi tanpa menghiraukan tindakan undang-undang yang telah dikenakan ke atasnya.

"Penduduk bimbang berlakunya insiden pencemaran seperti di Pasir Gudang sehingga menjejaskan lebih ramai orang awam dan membuatkan sesi persekolahan pelajar terganggu," katanya.

Mohd Nizam (kiri) dan anaknya menunjukkan kesan gatal pada badan yang dialami berkemungkinan kesan dari pencemaran udara.
Mohd Nizam (kiri) dan anaknya menunjukkan kesan gatal pada badan yang dialami berkemungkinan kesan dari pencemaran udara.

Salah seorang penduduk, Mohd Nizam Hashim, 53, berkata, sejak beberapa bulan lalu, keluarganya sering berasa tidak selesa selepas dimaklumkan kilang terbabit mendatangkan ancaman kesihatan.

"Perkara sama dirasai penduduk di sini kerana bimbang jarak kilang yang terlalu dekat.

"Dua anak saya berusia 9 dan 16 tahun sering gatal-gatal sehingga ada kalanya terpaksa tidak hadir ke sekolah sebab tak tahan dengan masalah ini, boleh jadi ia kesan daripada pencemaran udara di sekitar," katanya.

Dalam demonstrasi berkenaan, satu memorandum diserahkan Kok Fooi kepada Ketua Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin yang akan menjadi pengantara untuk membawakan isu berkenaan ke Parlimen.