Kenaikan elaun praktikal mampu tingkat prestasi pelatih

Aminolhuda (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan MPC, di sini hari ini.
Aminolhuda (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan MPC, di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peningkatan drastik elaun praktikal yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dijangka mampu memberi kesan yang optimum terhadap produktiviti dan prestasi kerja pelatih.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tidak dinafikan pemberian insentif juga memainkan peranan dalam perkembangan motivasi pelatih untuk bekerja dengan lebih keras.

“Sudah tentu bila mereka menerima hasil yang lumayan seperti ini, motivasi yang ada juga lebih tinggi dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti kerja mereka.

“Dengan prestasi kerja yang bagus, ia secara tidak langsung memberi kesan yang baik kepada pembangunan negara di masa hadapan. Kita kena tahu yang generasi kini lebih bijak dan mempunyai pemikiran yang kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor di Dewan MPC di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, berkenaan itu juga dilihat langkah terbaik dalam meringankan beban kewangan pelatih memandangkan kesemua mereka masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan.

“Ia membantu banyak aspek, terutama dari sudut kewangan pelatih. Saya rasa ia sesuai di saat dengan kos sara hidup dan perbelanjaan yang tinggi sekarang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun pelatih yang sedang menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan daripada RM1.60 sejam ke RM5 sejam berkuatkuasa 1 September.

Artikel Berkaitan:

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan berita baik itu di laman Twitternya menjelaskan kenaikan lebih tiga kali ganda itu dipersetujui pada mesyuarat khas Kabinet semalam.

ARTIKEL BERKAITAN Elaun pelatih praktikal kini RM900: Syed Saddiq