Pengawal melecur dibaling molotov cocktail

Keadaan pondok pengawal keselamatan yang dibaling dengan molotov cocktail. Gambar kanan: Seorang pengawal keselamatan cedera dalam insiden itu.
Keadaan pondok pengawal keselamatan yang dibaling dengan molotov cocktail. Gambar kanan: Seorang pengawal keselamatan cedera dalam insiden itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan warga Nepal melecur apabila pondok pengawal di sebuah kondominium di Taman Danau Kota di sini terbakar selepas dibaling molotov cocktail kira-kira jam 4.35 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, polis menerima panggilan kira-kira jam 5 pagi daripada seorang lelaki berhubung kejadian dua lelaki menaiki motosikal telah membaling molotov cocktail ke arah pondok pengawal keselamatan berkenaan.

Menurutnya, kejadian tersebut telah mengakibatkan pondok pengawal itu terbakar dan seorang pengawal keselamatan turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan belakang badan akibat kebakaran.

"Hasil siasatan awal, polis mendapati dua orang suspek lelaki tersebut membaling molotov cocktail ke arah pondok pengawal dan terus beredar," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Roslan Bek berkata, ketika kejadian terdapat tiga orang pengawal keselamatan bertugas di dalam pondok tersebut.

"Kebakaran tersebut berjaya dikawal dan dipadamkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

"Manakala, mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, Polis Kuala Lumpur meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk segera menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintedan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nazril Haizar Abd Wahab di talian 018-4066009.