Bekas peguam didakwa enam lagi pertuduhan pecah amanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan pecah amanah transaksi jual beli hartanah didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini, kali ini atas enam pertuduhan serupa membabitkan lebih RM800,000.

Bagaimanapun, Mohd Haidar @ Hasmayudin Mohd Hashim, 47, dari firma guaman, Tetuan Mohd Haidar & Co mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan itu di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, lelaki itu sebagai peguam yang beramal di Tetuan Mohd Haidar & Co didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang baki bayaran pembelian harta tanah sebanyak RM806,458.74 yang diterima daripada enam individu untuk kegunaannya sendiri.

Mohd Haidar yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang didakwa melakukan perbuatan tersebut di firma guaman miliknya, di No. 2-2 Tower 3, Bangsar Avenue 3, Jalan Kerinchi di sini antara 10 Julai 2015 dan 13 Oktober 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin yang mengendalikan prosiding pendakwaan meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan susulan tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku 10 pertuduhan pecah amanah dua tahun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: