Haji, korban, merdeka dan Hijrah

A
A
A

NAMPAKNYA haji, ibadah korban, menyambut kemerdekaan dan Hijrah bertemu dalam bulan yang sama tahun ini. Sambutan Hijrah berlaku pada 1 September sehari selepas Hari Kemerdekaan 31Ogos. Rugi jika umat Islam di Malaysia tidak meraih hikmah daripada empat peristiwa besar itu.

Sambutan Aidiladha berlaku pada 11 Ogos lalu sehingga 14 Ogos. Pengertian menunaikan haji dan berkorban sangat besar implikasinya. Haji yang sepatutnya pertemuan tahunan terbesar umat Islam tanda kesatuan, persaudaraan dan pengabdian kepada ALLAH SWT menyimpan rahsia yang sangat mengesankan jika umat benar-benar menghayati setiap rukun haji yang disempurnakan.

Tawaf, sa'i, jumrah, bermalam di Mina, punya falsafah tersendiri. Setiap perlakuan haji itu tersimpan makna ubudiyyah murni, pertalian sesama manusia, memupuk kesamaan, berpegang semua kepada tali ALLAH, menentang kebatilan dan konspirasi syaitan. Ertinya dimensi sosial, politik dan budaya terangkum dalam kurikulum haji.

Demikian di hari ibadah korban disempurnakan tersirat makna yang sangat mendalam. Malang apabila umat Islam melihat syariat korban hanya pada urusan menyembelih haiwan dan mengedar daging. Sesungguhnya ruh Nabi Ibrahim dan Ismail dalam sejarah korban memberi mesej yang sangat besar untuk menjinakkan hati agar hidup tidak hanya dipenuhi keghairahan mengumpul harta dan keselesaan.

Korban (tadhiyyah) ialah sifat unggul umat dalam menunaikan amanah melaksanakan segala amar Ilahi tanpa berkecuali. Sekembalinya para hujjaj ke tanah air sepatutnya menampilkan sahsiah baharu, sarat dengan semangat siap berkhidmat untuk dinullah dan berbakti kepada ummah. Demikian pula bila kita menyambut hari kemerdekaan buat kali ke-62 ini. Tema yang akan diungkap kali ini 'Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih' ditetapkan sebagai semboyan menyemai kecintaan sejati kepada watan.

Kemerdekaan yang diperjuangkan perwira bangsa meletakkan asas untuk membina negara dengan kedaulatan yang sangat berharga. Harus dihayati oleh setiap anak pertiwi itu tidak kira bangsa betapa makna kemerdekaan bukan sekadar mengusir penjajah akan tetapi membebaskan minda dan jiwa daripada kepompong terjajah.

Penjajahan bukan sekadar mengambil alih pemerintahan dan mengaut sumber bumi. Tetapi erti sebenar penjajahan ialah mencengkam minda dan jiwa agar merasa kerdil di hadapan apa sahaja sistem yang dibawa penjajah dan menjadi hamba segala sistem penjajah lalu melempar semua khazanah bangsa sebagai khazanah yang inferior.

Sesungguhnya memaknai kemedekaan dengan erti membebaskan minda dan jiwa adalah inti kemerdekaan yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Lalu kita bertemu serentak dengan sambutan Hijrah 1441. Semangat hijrah dengan segala latar belakang sejarah dan pengertian maknawiyyahnya yang tersendiri. Faham dan konsep yang tersimpan dalam babak-babak Hijratul Rasul perlu dihayati. Ia penuh pengajaran dan iktibar yang sangat luar biasa.

Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari lokasi ke lokasi akan tetapi satu anjakan paradigma tamadun kemanusiaan sarat kebijaksanaan dan keunggulan.

Negara dan bangsa ini telah melalui babak sejarah tersendiri dari sebuah tanah air yang bertamadun berpaksikan berhala dan khurafat menjadi sebuah bumi disirami ruh Islam. Lalu seluruh watak bangsa berhijrah kepada sebuah bangsa Muslim yang bertapak kukuh dalam sejarah mebangunkan pertiwi ini.

Hijrah bangsa yang menerima acuan Islam sebagai kerangka mencorak watak dan budaya telah diabadikan dalam sistem pemerintahan para Sultan lalu diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini beragamakan Islam.

Maka hijrah dalam erti kata yang sebenar sangat diperlukan. Bermula daripada makna hijrah yang sebenar, negara ini perlu kembali kepada asas acuan yang mentamadunkan bangsa ini. Pemugaran nilai Islamiyyah yang sangat unggul perlu dibangkitkan semula. Pengertian Islam sebagai acuan menyeluruh dan melengkapi perlu disegarkan kembali.

Haji serta ibadah korban, kemerdekaan dan hijrah menjadi resipi, manhaj bangsa dan negara mengembalikan keunggulannya.

Negara ini akan terus berkembang dalam zaman yang berubah dan mencabar. Terserah kepada generasi kini menyediakan acuan yang betul untuk generasi mendatang.