Petani sanggup belanja RM300 beli bendera

Mohd Salleh membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang di hadapan rumahnya di Kampung Pinang, Alor Setar semalam.
Mohd Salleh membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang di hadapan rumahnya di Kampung Pinang, Alor Setar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Walaupun pernah beberapa kali bendera yang dipasang di hadapan rumahnya dicuri, namun semangat seorang petani dari Kampung Pinang, Simpang Empat di sini untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan tetap membara.

Mohd Salleh Mat Lazim, 49, berkata dia reda dengan keadaan itu dan akan tetap menghiasai kediamannya dengan Jalur Gemilang sebagai menyahut seruan kerajaan walaupun memiliki pendapatan yang tidak seberapa dengan mengusahakan sawah.

“Setakat ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli 350 bendera dan separuh bendera itu sudah dipasang di hadapan rumah serta di sepanjang Terusan Wan Mat Saman yang terletak di hadapan rumah sejak 1 Ogos lalu.

“Kos itu tidak termasuk membeli tali dan bayar upah pemuda di sini untuk menebang buluh tetapi ada juga orang yang datang mencuri bendera pada waktu malam hingga saya menanggung kerugian sedangkan semua bendera itu saya beli sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Salleh berkata, sudah menjadi kelazimannya sejak 15 tahun lalu untuk menghiasi kediaman dengan kibaran Jalur Gemilang bagi menyerlahkan semangat dan perasaan cintakan negara.

Menurutnya, usaha itu juga bagi mengajak rakyat Malaysia pelbagai kaum mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman sebagai menyatakan penghargaan perjuangan orang terdahulu membebaskan tanah air daripada penjajah.

“Bila sampai bulan Ogos, saya tidak boleh duduk diam dan akan rasa sebak bila ingat balik nenek pernah beritahu saya bahawa dia pernah jadi buruh paksa dan nyaris ditikam dengan tentera Jepun, selain menjalani hidup yang cukup melarat kerana kurang makan,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Mohd Salleh berkata, dia dan anak-anaknya merancang untuk membina sebuah pintu gerbang yang dihiasi Jalur Gemilang di hadapan jalan masuk ke rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan itu, beliau juga bercadang untuk membina sebuah bahtera di Terusan Wan Mat Saman yang diharap boleh menjadi mercu tanda sambutan bulan kemerdekaan di kawasan berkenaan.

“Saya juga mahu memasang Jalur Gemilang di sepanjang terusan kerana terusan ini ada nilai sejarah," katanya. - Bernama