Maahad tahfiz musnah terbakar

Keadaan Maahad Tahfiz Jabal Nur di Semeling yang terbakar kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Keadaan Maahad Tahfiz Jabal Nur di Semeling yang terbakar kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Hampir 80 peratus bangunan asrama perempuan Maahad Tahfiz Jabal Nur di Semeling yang turut menempatkan 40 set katil hangus dalam kebakaran jam 4.30 pagi tadi.

Pengetuanya, Zarina Masri berkata, kejadian disedari salah seorang anaknya yang terjaga dari tidur dari rumah bersebelahan selepas terdengar bunyi cermin pecah sebelum mengejutkan dirinya serta ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, beliau lega apabila musibah berkenaan tidak membabitkan nyawa pelajar memandangkan kesemua mereka sedang bercuti sempena Hari Raya Aidiladha sehingga 20 Ogos nanti.

"Mujur bangunan kosong tetapi hati ini tetap berdebar-debar melihat api marak memusnahkan bangunan maahad yang dibangunkan arwah suami sejak 1999 dulu," katanya.

Menurutnya, kebakaran premis turut menjejaskan ruang belajar pelajar dan bilik rehat di tingkat atas manakala asrama yang menempatkan katil dan tilam berada di tingkat bawah turut musnah.

Katanya, mereka ada terhidu bau hangit sehari sebelum kejadian dan telah membuat pemeriksaan ke setiap kawasan namun tidak menemui sebarang petunjuk selain menyangka kemungkinan bau asap datangnya dari sampah yang dibakar.

Menurut Zarina, maahad yang dikenali sebagai Pondok Attin itu menawarkan pengajian pondok kepada pelajar lelaki dan perempuan sekitar utara termasuk Thailand.

"Perbelanjaan maahad bergantung kepada yuran pelajar RM200 sebulan selain sumbangan dan zakat, dari situlah kita guna untuk tampung perbelanjaan bulanan namun tidak semua pelajar mampu bayar," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menganggarkan kerugian mencecah kira-kira RM400,000.

Orang ramai yang bersimpati, boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam bernombor 02020010021602.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Nut Jamudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.45 pagi dan sampai ke lokasi kejadian pada jam 4.57 pagi.

"Operasi melibatkan anggota balai Bomba Sungai Petani seramai 12 orang, Bomba Sukarela Sungai Petani seramai 3 orang dan pasukan Bomba Bedong seramai 10 orang," katanya.

Menurutnya, kebakaran melibatkan 80 peratus bangunan premis dua tingkat berkenaan dan api berjaya dikawal pada jam 5.13 pagi.

Siasatan masih dijadikan berhubung punca dan jumlah kerugian sebenar.