Dong Zong: Polis buka kertas siasatan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan ke atas Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini polis menerima enam laporan menggesa Dong Zong diharamkan.

"Kita sudah buka kertas siasatan dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) Bukit Aman.

"Berdasarkan hasil siasatan itu, kita akan putuskan berkenaan status Dong Zong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Menurutnya, dalam melengkapkan siasatan berkenaan polis akan memanggil ahli Dong Zong untuk dirakam percakapan.

"Namun saya belum dimaklumkan sehingga kini sama ada sudah ada yang dipanggil atau belum," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa satu program di Sepang berkata, terpulang kepada polis untuk menentukan sama ada Dong Zong perlu diharamkan atau tidak.

Dr Mahathir berkata, kumpulan itu menentang undang-undang jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara satu sama lain.

"Tapi, Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum," katanya.

Dong Zong sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M kecam Dong Zong, sindir DAP