Lelaki didakwa cederakan, samun penghantar Grab Food

Tertuduh (bergari) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan mencederakan seorang penghantar makanan Grab Food dan cuba mencuri motosikal.
Tertuduh (bergari) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan mencederakan seorang penghantar makanan Grab Food dan cuba mencuri motosikal.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini atas dua tuduhan mencederakan seorang penghantar makanan Grab Food dan cuba mencuri motosikal milik lelaki itu minggu lepas.

Abu Bakar Subianto, 33, seorang subkontraktor bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M Bharat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22, pada bahagian muka dan badan menggunakan 'fork lock' (pengunci kenderaan).

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didapati cuba merompak motosikal Yamaha Y15 milik mangsa.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, di sini jam 2.53 petang, 9 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia 12 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh bagaimanapun tidak membayar jaminan dan kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penghantar makanan Grab Food cedera selepas bergelut dengan dua penjenayah yang cuba menyamun Yamaha Y15 berhampiran Phileo Damansara, jam 2.53 petang.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan malang bagi dua penjenayah apabila telefon bimbit milik seorang daripada mereka terjatuh ketika cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan di Phileo Damansara petang Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di depan bangunan Phileo Damansara 2 sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z mendakwa motosikal milik mangsa adalah kenderaan curi dan ingin mengambilnya.

Mangsa cedera akibat bergelut untuk menyelamatkan motosikalnya daripada dilarikan suspek sebelum suspek yang merupakan pemilik kepada telefon tercicir di lokasi ketika kejadian kemudian diberkas polis.