Gagal daftar taska, pemilik didenda RM8,000

No Image Caption
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pemilik taman asuhan kanak-kanak (taska) di Pusat Rehabilitasi Perkeso, Bandar Hijau Hang Tuah Jaya didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti tidak didaftarkan, Mei lalu.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozita Zainal Abidin, 33, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Rozita didakwa menjalankan aktiviti taska yang tidak berdaftar dikenali sebagai Taska Little Learning Child Care Center jam 6.30 pagi, 11 Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Rozita didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rozita tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman minimum atas alasan kesalahan pertama dan mengakui kesilapan tidak membuat susulan dengan pihak pusat rehabilitasi mengenai proses pendaftaran taska selain menanggung dua anak kecil dan ibu yang menghidap darah tinggi.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Raya, SR Arthana memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Selain terdapat kes bayi lelaki berusia lima bulan meninggal dunia di taska berkenaan ketika dalam asuhan pada 10 Mei lalu dan sebagai pemilik taska, tertuduh sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang bertugas di zon merah Hospital Melaka menerima pesakit bayi lelaki tidak sedarkan diri dibawa dari taska berkenaan, jam 7.16 pagi, pada 11 Mei sebelum membuat laporan polis dan mendapati taska terbabit tidak berdaftar dan tiada perakuan pendaftaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh kemudian membayar jumlah yang dikenakan.