Lima geng curi kenderaan di Johor Bharu tumpas

Ibrahim (dua kanan) melihat antara kereta yang dirampas.
Ibrahim (dua kanan) melihat antara kereta yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan lima kumpulan curi kenderaan menerusi Ops Lejang Khas di kawasan pentadbiran Iskandar Puteri sejak Januari hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, pihaknya turut menahan 39 individu termasuk tiga warga asing dalam serbuan itu.

"Hasil operasi tersebut, kita telah membuat 39 tangkapan iaitu Melayu seramai 17 orang, India (15), Cina (tiga), lain-lain seorang dan tiga warga Bangladesh.

"Daripada tangkapan tersebut, kita berjaya menumpaskan lima kumpulan curi kenderaan iaitu Geng Lejang Sniper (tiga orang), Geng Lejang Melawati (tiga orang), Geng Lejang Ah Chet (empat orang), Geng Lejang Kupit (dua orang) dan Geng Lejang Berg (tiga orang)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Ibrahim melihat motosikal yang dirampas.
Ibrahim melihat motosikal yang dirampas.

Ibrahim berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya telah menahan sembilan individu mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selain merampas lapan kereta dan 18 motosikal.

Katanya, kesemua tangkapan berusia 13 hingga 45 tahun dan 30 daripadanya mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah berdasarkan hasil semakan.

"Daripada tangkapan tersebut, kita juga telah berjaya menuduh 21 kes iaitu 12 kes curi motosikal dan sembilan kes curi kereta.

Artikel Berkaitan:

"Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.