Disimbah asid ketika lintas jalan

Difahamkan mangsa disimbah asid selepas keluar dari sebuah bank di Pulau Tikus malam tadi.
Difahamkan mangsa disimbah asid selepas keluar dari sebuah bank di Pulau Tikus malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seorang penasihat undang-undang sebuah bank melecur di muka, tangan dan paha kiri disyaki disimbah asid oleh dua lelaki di hadapan sebuah bank di Jalan Burmah, Pulau Tikus di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 48 tahun itu didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal ketika dia sedang melintas jalan.

"Ketika kejadian, mangsa yang berseorangan mahu melintas jalan dan dia didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal. Ketika motosikal itu hendak melepasi mangsa, pembonceng motosikal itu telah menyimbah cecair disyaki asid lalu terkena pada mukanya.

"Mangsa terus berlari dan masuk semula ke dalam bank lalu menjerit meminta tolong. Mangsa kemudiannya menghubungi rakannya dan menceritakan insiden yang menimpanya. Tiada kerugian dilaporkan dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.
Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Che Zaimani berkata, daripada keterangan awal mangsa mendakwa, dia tidak mengecam wajah kedua-dua lelaki tersebut berikutan kejadian itu berlaku terlalu pantas.

"Mangsa juga tidak sempat melihat nombor plat dan jenis motosikal yang digunakan suspek. Bagaimanapun, mangsa mendakwa kedua-dua suspek memakai baju T dan berseluar panjang.

"Kedua-dua suspek berbadan sederhana besar dan memakai topi keledar. Mangsa juga mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak selain tidak mempunyai musuh sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tangan mangsa cedera selepas terkena asid yang disimbah dua suspek.
Kedua-dua tangan mangsa cedera selepas terkena asid yang disimbah dua suspek.

Katanya, polis akan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di tempat kejadian.

"Selain CCTV MBPP, kita juga akan menyemak CCTV lain yang berada berdekatan tempat kejadian. Ketika kejadian, tiada saksi bebas namun kita telah merakamkan keterangan daripada 112 saksi termasuk rakan mangsa yang dihubungi ketika kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.