Tak perasan seret kereta

Video kejadian sebuah lori simen melanggar dan menyeret sebuah kereta di Jalan Klang Lama yang tular di media sosial semalam.
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang pengguna jalan raya terpaksa membunyikan hon kenderaannya bagi memberi isyarat kepada pemandu sebuah lori simen yang melanggar dan menyeret sebuah kereta di Jalan Klang Lama di sini petang semalam.

Kejadian dirakam kamera seorang pengguna kenderaan tersebut tular di media sosial sejak malam tadi.

Dalam video berdurasi sembilan saat itu, lori simen berkenaan dirakam menyeret kereta jenis Perodua Axia berwarna hijau yang berada dalam keadaan melintang di bahagian depan kenderaan berat itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang di Jalan Klang Lama menghala Puchong.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 56 tahun manakala lori simen jenis Sinotruk Howo dipandu lelaki berusia 36 tahun.

"Kemalangan berlaku ketika pemandu wanita menukar lorong dari kiri ke kanan laluan di persimpangan lampu isyarat Jalan Klang Lama.

"Pemandu lori simen berada di lorong kanan di bahagian belakang tidak perasan dia melanggar bahagian sisi belakang kanan kereta terbabit menyebabkan ia berpusing dan terseret beberapa meter," katanya.

Sarifudin berkata, insiden hanya disedari pemandu lori apabila ada pengguna jalan raya lain di sebelah kiri membunyikan hon.

Katanya, hasil siasatan pemandu lori mendakwa tidak perasan

menyeret kereta itu kerana hujan lebat.

"Pemandu lori beritahu dia ada terasa sedikit gegaran pada lori namun meneruskan perjalanan kerana menyangka hanya terlanggar lubang jalan dan dia hanya memperlahankan lorinya," katanya.

Menurutnya, kemalangan tidak menyebabkan kecederaan namun kereta dilanggar mengalami kerosakan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia