Sudah sampai masa Tun Mahathir berundur: MP PKR

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengesyorkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah berundur daripada jawatan Perdana Menteri rentetan pelbagai polemik yang berlaku ketika ini.

Hassan mendakwa, Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan raja.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut menandatangani surat yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk dilantik menjadi Perdana Menteri sebaik PH memenangi cukup majoriti bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, saya berpendapat masa sudah sampai untuk Tun Dr Mahathir berundur.

"Sudah jelas kelihatan beliau tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang," dakwanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau percaya tiada jalan lain ketika ini untuk mengelakkan Pakatan Harapan (PH) daripada berpecah menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ia seperti apa yang berlaku pada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

"Saya berharap dan memohon supaya Dr Mahathir yang berjiwa besar mengambil langkah berani seperti Sir Winston Churchil, Perdana Menteri British yang berundur selepas berjaya membawa Britain dan Pihak Berikat memenangi Perang Dunia Kedua mengalahkan Kuasa Paksi Fasis Jerman dan Jepun dan menyerahkan kuasa perdana menteri kepada pemimpin yang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR Johor umum taat setia kepada Anwar

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Dr Mahathir akan tetap dikenang dan dihormati kerana telah berjaya memimpin PH menumbangkan BN pada PRU14 dan membentuk kerajaan baru PH melalui proses peralihan kuasa dengan aman dan teratur.

"Tetapi perkembangan terkini dalam tanah air munculnya banyak isu yang boleh memecahbelahkan rakyat.

"Maka sudah sampai masanya proses peralihan jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya kerajaan PH hendak diselamatkan," katanya.