Dua penyamun berputih mata

No Image Caption
A
A
A

CHERAS - Dua lelaki yang menyamun seorang suri rumah di depan sebuah pasar raya di Taman Connaught tidak sempat menikmati hasil curi apabila ditahan polis lewat malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.20 malam, mangsa yang berada dalam sebuah kereta itu didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed berkata, suspek menghampiri kereta mangsa yang berusia 21 tahun itu dan meragut beg tangan serta telefon bimbit miliknya.

Menurutnya, seorang daripada suspek turut menumbuk pipi mangsa.

“Mangsa melawan suspek dengan menendang pintu kereta ke arah mereka namun seorang daripada suspek mengeluarkan parang dan terus acukan kepadanya.

“Insiden pergelutan itu dilihat anggota polis peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek berusia 34 tahun ditahan di lokasi manakala seorang lagi melarikan diri dengan motosikal setelah merempuh kereta peronda polis.

Mokhsein berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek ditahan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

“Polis merampas sebuah motosikal jenis Y15zr menggunakan nombor pendaftaran palsu, topi keledar, anak kunci motosikal, beg, parang, gergaji, satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis methamphetamine dan satu paket aluminium berisi pil dipercayai dadah jenis erimin 5.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit, beg tangan wanita, kad pengenalan milik mangsa dan wang tunai berjumlah RM670,” katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Seorang lagi suspek masih diburu untuk membantu siasatan,” katanya.