Peniaga jalanan 'hati kering'

Masih ada peniaga jalanan yang beroperasi di persimpangan lampu isyarat hari ini.
A
A

KUALA NERUS - Masih ada peniaga jalanan di negeri ini yang beroperasi di persimpangan lampu isyarat biarpun arahan menghentikan perniagaan oleh kerajaan negeri sudah berkuat kuasa.

Tinjauan di persimpangan lampu isyarat di Jambatan Sultan Ismail ke daerah ini mendapati masih ada peniaga jalanan tidak bersetuju dengan arahan yang dilihat seolah-olah menutup periuk nasi mereka.

Mereka mendakwa hanya dengan cara itu mereka dapat mencari rezeki dan lebih baik daripada mencuri atau melakukan jenayah lain kerana tiada pekerjaan.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati sebahagian kecil sahaja yang tidak mematuhi arahan terbabit dan mereka dilihat mengambil kesempatan ketika kebanyakan penguat kuasa masih bercuti.

Seorang peniaga jalanan yang mahu dikenali sebagai Azmi, 23, berkata, dia tidak mengetahui mengenai arahan itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk terus meniaga.

"Maaf bang, saya tak tahu tapi saya ambil upah (komisen) sahaja, bukannya banyak pun. Ini sahaja kerja yang saya mampu buat dan ini lebih baik daripada saya mencuri," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi seorang lagi peniaga jalanan mahu dikenali sebagai Hafiq, 21, arahan kerajaan negeri itu menyebabkan ramai rakannya hilang punca pendapatan, namun dia mengambil keputusan untuk terus berniaga.

8 Ogos lalu, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua peniaga jalanan di persimpangan lampu isyarat agar menghentikan operasi jualan mereka berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dalam sidang media di Wisma Darul Iman.

Beliau menegaskan, ia menyalahi undang-undang iaitu Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 166/ 59 dan bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1975, Undang-Undang Kecil Penjaja.