Wan Rongak kena cekup

Suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) selepas meragut seorang wanita di Taman Sri Kluang, baru-baru ini.
Suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) selepas meragut seorang wanita di Taman Sri Kluang, baru-baru ini.
A
A
A

KLUANG - Polis daerah ini berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ragut seorang wanita di sebuah kafe di Taman Sri Kluang sehingga rakamannya menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam Ops Rentap tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Kampung Tengah kira-kira jam 2 petang, semalam.

"Hasil soal siasat, suspek yang dikenali sebagai Wan Rongak dan berumur 31 tahun itu mengaku terlibat dalam tiga kes ragut di daerah ini selepas melarikan diri dari pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Rompin, Pahang sejak bulan Jun lalu.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan masih dikehendaki polis. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methapetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah motosikal, topi keledar, enam kad pengeluaran wang automatik (ATM), sekeping cek bernilai RM6,500, lapan keping resit simpanan tetap bernilai RM80,000 tiga MyKid dan pelbagai dompet dan beg tangan.

Katanya, siasatan juga akan terus dilakukan terhadap suspek untuk mengenal pasti pembabitannya dalam kes-kes jenayah lain selain akan melipatgandakan usaha bagi mengesan rakan-rakan suspek yang melakukan jenayah dan masih bebas.

"Suspek kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara selama 14 tahun dan denda atau sebatan," katanya.

Artikel Berkaitan: