Sasar 15 juta pelancong di Pahang

Hafiz (dua dari kanan) memegang replika cek hadiah utama pemenang pertandingan Surfcasting RM100,000 yang akan berlangsung pada 18 Ogos ini.
Hafiz (dua dari kanan) memegang replika cek hadiah utama pemenang pertandingan Surfcasting RM100,000 yang akan berlangsung pada 18 Ogos ini.
A
A
A

KUANTAN - Tourism Malaysia Wilayah Timur menyasarkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri Pahang melonjak sehingga 15 juta tahun ini berbanding 14 juta, tahun lalu.

Pengarahnya, Hafiz Hazin berkata, ini berikutan enam produk pelancongan baharu yang giat dipromosikan sejak 2018 sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Lokasi tersebut ialah Centre Of Peninsular & Tiger Valley di Hutan Krau, Lanchang; Genting Premium Outlet dan 20th Century Fox Theme Park di Genting Highlands; Merapoh Caving Paradise di Merapoh; Black Water Jewel di Bebar Pekan dan Via Ferrata Paya Gunung di Jerantut.

Menurutnya, sejumlah 14,827,961 kedatangan pelancong direkodkan pada 2017 manakala 13,431,842 direkodkan pada 2018.

"Dengan tarikan tersendiri di setiap lokasi baharu ini, kita yakin dan amat berharap jumlah kedatangan pelancong melepasi sasaran 15 juta tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia khususnya di tiga negeri Wilayah Timur, khususnya Pahang.

"Keunikan Black Water Jewel menawarkan pemandangan sungai yang hitam. Ia menarik kunjungan pelancong untuk menjalani aktiviti river cruise.

"Via Ferrata Paya Gunung pula sesuai untuk penggemar aktiviti sukan ekstrem atau si pendaki gunung. Cabaran pendakian gunung berbatu dijangka merancakkan lagi kedatangan penggemar sukan itu yang dilihat semakin mendapat perhatian dan pilihan untuk beriadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2018: A Journey To Visit Malaysia 2020.

Artikel Berkaitan:

Hafiz berkata, ia secara tidak langsung akan menambah kedatangan pelancong ke Pekan, Jerantut dan Genting Highlands.

"Sebelum ini Pekan merekodkan 52,404 pengunjung; Jerantut 139,729 manakala Genting Highlands kekal merekodkan kedatangan pelancong paling tinggi di antara 21 destinasi pelancongan di 11 daerah di Pahang iaitu 7,951,907 pada 2018.

"Selain Genting Highlands dan Cameron Highlands lapan lagi yang dicatat sebagai 10 ikon pelancongan di Pahang ialah Taman Negara, Pulau Tioman, Bukit Fraser, Rompin, Kuala Lipus, Kuala Gandah, Cherating dan kawasan Kesultanan Pekan," katanya.

Tambahnya, berdasarkan promosi 2019 dengan kewujudan sambutan 100 Tahun Bukit Fraser, Surfcasting Tourism Malaysia dan Bird Race, pihaknya yakin sasaran pelancong dapat dipenuhi seterusnya meningkat pendapatan di sektor pelancongan.

Sementara itu, hadiah wang tunai keseluruhan RM1.3 juta, kereta Myvi dan TV LCD 60 inci menanti pemenang siri memancing 'Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019: A Journey To Visit Malaysia 2020'

Pertandingan anjuran Tourism Malaysia itu dijangka bakal menarik perhatian 1,800 pemancing yang akan dilaksanakan pada 18 Ogos nanti di Pantai Sepat di sini.