Bukti rakyat Malaysia prihatin

No Image Caption
A
A
A

SEGELINTIR rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah dan prihatin. Lihat sahaja di media sosial, jika ada pihak yang meminta sumbangan, cepat sahaja rakyat Malaysia menderma. Seperti kes bayi istimewa, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap kanser mulut germ cell tumor. Atas keprihatinan orang ramai yang membantu, Alhamdulillah Ainul Mardhiah sudah selamat menjalani pembedahan di London pada Jun lalu.

Sikap keprihatinan rakyat Malaysia juga terbukti dengan sumbangan dana untuk membantu anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu. Kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim itu meruntun jiwa sebahagian besar rakyat Malaysia. Keprihatinan itu diterjemah menerusi sumbangan Tabung #Pray4AdibKassim yang dilancarkan Kumpulan Media Karangkraf berjaya mengumpul RM47,209.64.

Selepas insiden yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib, dunia dikejutkan pula dengan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu. Dalam kejadian itu, seramai 51 orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera ditembak pengganas, Brenton Tarrant.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi dan tiga lagi cedera parah iaitu bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Mohd Nazri Hisham Omar. Satu tabung khas #Sinar4NZMartyrs turut dilancarkan Sinar Harian dan atas sumbangan rakyat Malaysia yang pemurah, tabung itu berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM159,895.73. Selain membantu mangsa yang cedera dalam insiden itu, dana sumbangan turut diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, mangsa yang cedera serta membantu membaik pulih masjid yang terjejas dalam tragedi itu.

Namun ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas keprihatinan dan kemurahan rakyat Malaysia. Seperti kes sumbangan dana sebuah pusat tahfiz di Sungai Petani yang tular di media sosial dan grup WhatsApp sebelum Ramadan lalu. Video yang tular menunjukkan penghuni pusat tahfiz itu perlu mengosongkan asrama mereka kerana didakwa dihalau. Maka mereka memohon sumbangan orang ramai untuk mencari penempatan baharu bagi penghuni pusat tahfiz itu.

Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pihak pengurusan itu hanya berselindung di sebalik pusat tahfiz tersebut dengan menjalankan perniagaan jualan mereka. Pusat tahfiz itu menggunakan pelajarnya untuk keluar menjual produk mereka. Mereka juga bijak mengaburi mata pihak berkuasa kerana sering menukar nama pusat dan berpindah jika tindakan dikenakan ke atas pusat tahfiz itu. Namun pihak kerajaan negeri Kedah telah mengarahkan supaya pusat tahfiz amal itu ditutup.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata, notis penutupan pusat tahfiz itu dikeluarkan pada 11 Mac lalu oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Itu baru cerita bab sumbangan, ada lagi perkara yang membuatkan rakyat Malaysia prihatin contohnya ketika kemalangan jalan raya. Jika kemalangan berlaku di lorong sebelah kanan jalan, wajarlah jika kesesakan berlaku di lorong terbabit namun hairannya di sebelah lorong jalan yang tidak terlibat kemalangan juga beratur panjang sesaknya. Pemandu di lorong sebelah juga prihatin untuk melihat apa yang berlaku di sebelah jalan sana.

Artikel Berkaitan:

Namun lebih elok jika sikap keprihatinan kita diterjemahkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan ini. Walaupun sudah mahu menjengah tengah bulan Ogos namun penulis lihat ramai masih belum mengibarkan bendera Malaysia di rumah mahupun di kereta.

Di sepanjang jalan juga masih belum meriah dengan bendera, yang ada hanyalah bunting promosi jualan sempena merdeka. Bukan perang bendera tetapi perang promosi di sana sini. Ada juga premis yang menggantung Jalur Gemilang tapi amat menyedihkan keadaan bendera berkenaan. Sudah berapa tahun tidak ditukar sehingga menjadi lusuh malah jalur pun sudah tidak cukup 14.

Siapa lagi yang mahu kibarkan Jalur Gemilang dan bangga dengan negara jika tidak kita sendiri. Takkan mahu keluar modal untuk membeli Jalur Gemilang pun kita nak berkira kan?