Penduduk harap ihsan kerajaan baiki rumah

Yusop (tengah) bersama beberapa pekerja mengumpul zink bumbung rumah mereka yang tercabut akibat kejadian ribut malam Jumaat lalu.
Yusop (tengah) bersama beberapa pekerja mengumpul zink bumbung rumah mereka yang tercabut akibat kejadian ribut malam Jumaat lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Penduduk Kampung Sekolah Juru di sini mengharap ihsan dan perhatian daripada kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan agar memberikan bantuan segera kepada mereka bagi membaiki rumah yang rosak akibat dibadai angin kencang yang berlaku pada malam Jumaat lalu.

Kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 10.40 malam itu bukan sahaja menyebabkan bumbung rumah mereka diterbangkan angin malah ada rumah yang rosak akibat ditimpa pokok tumbang.

Penduduk, Yusop Ismail, 76, berkata, rumahnya disewakan kepada beberapa pekerja dan disebabkan keseluruhan bumbungnya hilang penyewa perlu mencari tempat perlindungan lain untuk sementara waktu.

"Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kerana kos untuk baiki bumbung ini bukanlah sedikit.

"Penduduk kampung di sini bukan semuanya di kalangan orang senang. Kami harap ihsan daripada kerajaan bagi meringankan beban kami yang ditimpa musibah ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pagi tadi.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Abdullah, 80, berkata, bumbung rumahnya juga terjejas akibat kejadian itu dan dia terpaksa mengeluarkan wang simpanannya sendiri untuk membaiki segala kerosakan kerana mahu mengadakan majlis kenduri kahwin anak bongsunya pada 17 Ogos depan.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku, Ibrahim berkata, ketika itu dia berada di rumah bersama isterinya, Mahfuzah Basyri, 62, di tingkat bawah sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat dan dentuman di bahagian luar rumah.

Menurutnya, ketika itu dia hanya memikirkan nasib anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di rumah bersebelahan.

Artikel Berkaitan:

"Angin kuat tak pernah lagi berlaku sepanjang 60 tahun pakcik duduk di sini dan bila dengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, mulalah pakcik dan makcik risaukan anak kami yang lumpuh di rumah sebelah. Takut sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

Ibrahim bersama menantu serta cucunya melihat sisa zink bumbung dan dan kayu yang berselerak di halaman rumahnya.
Ibrahim bersama menantu serta cucunya melihat sisa zink bumbung dan dan kayu yang berselerak di halaman rumahnya.

"Selepas lebih kurang 15 minit kejadian angin kencang berlaku dan keadaan beransur pulih, baru kami jenguk keadaan di luar," katanya.

Ibrahim berkata, sebaik keluar dia mendapati keadaan di halaman rumah serta jalan berselerak dengan zink bumbung dan kayu selain pokok mangga di hadapan rumah anaknya itu tumbang dan terkena bumbung tempat letak kereta.

Katanya, dia dan ahli keluarganya yang terjejas dengan kejadian itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mengisi borang yang diberikan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pihak MPKK tidak memberi sebarang jaminan bila dan jenis bantuan yang akan diberikan.

"Saya terpaksa keluarkan duit simpanan sendiri untuk baiki rumah kalau tidak sampai bila nak biarkan rumah ini berbumbungkan langit? Tambahan pula kenduri anak pak cik akan diadakan tak lama lagi.

"Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku namun pakcik bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat daripada kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat penduduk yang terjejas dengan bencana itu dan sedang bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Seberang Perai Tengah, Jabatan Kerja Raya, Zakat Pulau Pinang dan Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan untuk memberikan bantuan awal kepada mereka yang terlibat.

Bagaimanapun, katanya penduduk perlu membuat laporan polis dan mengisi beberapa maklumat dan penilaian akan dibuat oleh pejabat tanah sebelum tindakan susulan dilakukan.

"Bagi keseluruhan kawasan Bukit Tengah tidak kurang 60 rumah yang rosak akibat bencana ini dan di Kampung Sekolah Juru hampir 30 rumah yang terlibat.

"MPKK telah buat lawatan ke setiap rumah yang terjejas bagi menziarahi mereka selain memberikan penerangan mengenai apakah yang perlu dilakukan penduduk untuk memohon bantuan dan sebagai wakil rakyat saya akan berusaha mempercepatkan bantuan untuk mereka," katanya.