Panah anjing: Elak ambil tindakan sendiri

MOHD FIRDAUS
MOHD FIRDAUS
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri yang bersifat keterlaluan sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu.

Exco Penerangan Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, orang ramai sebaliknya dinasihatkan untuk menggunakan saluran yang betul bagi menangani masalah berbangkit.

Menurutnya, kejadian membunuh seekor anjing dipercayai menggunakan anak panah berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Dayang Bay, Kuah, Langkawi, Ahad lalu adalah di luar batas kemanusiaan.

“Saya turut mengecam pelaku yang melakukan perkara sedemikian. Seorang manusia yang waras tidak mungkin mampu bertindak sehingga ke tahap sebegitu.

"Tidak dinafikan ada segelintir yang terpaksa membunuh anjing liar di jalanan, namun tidak perlulah melakukan pembunuhan seperti aksi Robin Hood,” katanya.

Mohd Firdaus yang juga ADUN Kuah berkata, masyarakat kini diharap dapat memupuk sifat menyayangi antara satu sama lain termasuk belas ihsan terhadap haiwan.

“Ada antara kita tidak suka pada haiwan ternakan mahupun peliharaan, namun jangan lupa ada pihak lain yang prihatin terhadap kebajikan haiwan seperti NGO pencinta haiwan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap si pelaku dapat dikesan dan dikenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar peristiwa sama tidak berulang dalam negara ini.

“Mohon pihak berkuasa mendakwa pelaku yang bertindak kejam terhadap haiwan itu. Kita tidak mahu perkara sebegini dianggap remeh,” katanya.

Artikel Berkaitan: