Malaysia dan segelintir penghuni yang ‘sakit’!

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA hari sebelum Hari Raya Aidiladha, kita dikejutkan dengan kes seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang dicabul di dalam tandas sebuah restoran di Shah Alam, Selangor.

Mujur dia meraung sekuat hati lalu terselamat daripada menjadi mangsa kerakusan seorang warga asing.

Sebelum itu, media tempatan juga melaporkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dicabul lelaki selepas dia diumpan dengan biskut dan telefon bimbit di Lahad Datu.

Malah pada hari-hari biasa, mata kita juga sudah letih membaca kes mahkamah yang menjatuhkan hukuman kerana rogol anak tiri atau menjadikan anak sendiri sebagai hamba seks.

Malaysia, apa sebenarnya jenis penyakit yang sedang melanda segelintir penghuni negara ini?

Makin dihambat kehebatan teknologi, semakin rendah nilai moral manusiawi masyarakat di dalamnya.

Pada era 1980-an, anak kecil boleh selamba sahaja berjalan kaki pergi dan balik sekolah dari rumah dengan jarak kurang lebih dua hingga tiga kilometer tanpa ditemani ibu ayah.

Itu senario hampir 40 tahun lalu. Keyakinan dan rasa percaya kepada jiran dan masyarakat sekeliling masih menebal di dalam diri setiap insan.

Artikel Berkaitan:

Kes culik anak orang kaya mungkin ada, tetapi penderaan seksual? Belum tercapai akal.

Tiada yang akan terfikir siapalah sanggup mengapa-apakan anak kecil yang langsung tiada ‘daya tarikan’ itu.

Begitupun, masa berlalu dan manusia juga berubah dengan kelakuan juga selera pelik-pelik.

Anak-anak kecil menjadi mangsa kebejatan yang menakutkan. Jangan kata nak berjalan ke sekolah, untuk biarkan mereka bergerak semeter pun ibu bapa perlu waspada.

Menurut statistik oleh Pasukan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak Yang Disyaki (SCAN), sebanyak 1,921 kes daripada 3,308 kes penderaan yang dilaporkan di hospital seluruh negara pada 2018 adalah kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Bagi menyokong fakta itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan sebanyak 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkod bagi tempoh 2010 hingga Mei 2017 di seluruh negara, iaitu dengan purata 3,176 kes setahun.

Jumlah itu mewakili empat kategori penderaan seksual iaitu kes rogol (13,272) diikuti cabul (6,014), sumbang mahram (1,796) dan perbuatan luar tabii (1,152 kes).

Adakah angka ini tidak cukup untuk membuat kita seram sejuk? Tidak kira anak lelaki atau perempuan, sekarang semuanya tidak selamat.

Dalam pada kita berpesan kepada si kecil, jangan cakap dengan orang tidak kenal, rupanya yang mereka sangat rapat itulah yang membuat onar!

Di Selangor, sebanyak 75.5 peratus kes jenayah seksual kanak-kanak dilakukan individu dikenali mangsa.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Beliau mendedahkan, pelaku ada pertalian darah seperti saudara tiri, suami pengasuh, jiran dan teman lelaki.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga Oktober 2018, hanya 24.4 peratus kes jenayah seksual itu mendapati mangsa tidak mengenali individu yang melakukannya.

“Sebanyak 333 kes jenayah seksual dilaporkan sepanjang tempoh itu iaitu 138 daripadanya membabitkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak diikuti 114 kes rogol, 72 kes liwat dan sembilan kes sumbang mahram.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 46 kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan 287 kes,” katanya.

Peningkatan 46 kes dalam masa setahun adalah angka yang sangat menakutkan. Apa yang boleh dilakukan golongan ibu bapa moden bagi membanteras gejala ini?

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Abu Bakar, untuk menyelamatkan keadaan ini, semuanya bermula dari rumah.

Jelas Dr Faridah, ibu bapa perlu lebih proaktif memberikan pendedahan awal kepada anak masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual.

“Anak-anak kecil ini perlu dididik tentang batasan merangkumi pergaulan, sentuhan fizikal dan perkataan,” katanya.

Beritahu mereka untuk tidak merahsiakan apa sahaja yang berlaku. Contohnya jika ada orang menyentuh mana-mana bahagian tubuh.

Galakkan juga mereka untuk percaya kepada instinct. Jika ada orang yang buat mereka rasa tidak selesa, cepat-cepat lari ke tempat selamat!

Memang mustahil untuk melindungi anak-anak kita daripada orang tidak dikenali pada setiap masa. Tetapi tidak mustahil untuk mendidik mereka apa yang perlu dilakukan jika ada yang cuba bertindak melampaui batas.