Nenek maut, cucu parah diserang lima lelaki bertopeng

Polis mengusung mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke HTAJ Sabak Bernam.
Polis mengusung mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke HTAJ Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMASKINI] Seorang nenek ditemui mati di rumahnya, manakala cucunya cedera parah dipercayai diserang lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Kampung Tebuk Pulai di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikenali P Runkanaikey, 78, bersama cucunya, N Silamparasan, 22, disedari jiran apabila terdapat kesan pintu hadapan rumah dipecahkan.

Menurutnya, kejadian itu disedari jiran mangsa yang menghubungi polis memaklumkan berlaku sesuatu mencurigakan di rumah terbabit.

"Kejadian berlaku selepas cucu mangsa mendengar kehadiran individu di hadapan rumah lalu cuba mengejutkan neneknya yang tidur di dalam bilik.

"Bagaimanapun belum sempat mengejutkan neneknya, suspek berjaya memecah pintu hadapan dan masuk ke dalam rumah," katanya.

Chee Khoon berkata, suspek yang masuk ke rumah terbabit kemudiannya menetak warga emas berkenaan menggunakan senjata tajam.

"Cucu mangsa yang mulanya menyorok di bawah katil cuba melarikan diri selepas melihat neneknya ditetak, namun turut ditetak suspek hingga cedera parah," katanya.

Beliau berkata, mangsa warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, telinga kanan, tangan kiri dan lutut kiri.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan cucunya dikejarkan ke hospital sama mengalami kecederaan parah di bahagian lengan tangan kiri, paha dan betis kiri serta tapak kaki kanan," katanya.

Chee Khoon berkata, hasil siasatan awal polis mendapati hanya kedua-dua mangsa tinggal di rumah semasa kejadian.

Menurutnya, tiada kerugian harta benda atau wang tunai berlaku kerana dompet, rantai emas, wang tunai dan sebuah kenderaan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger tidak dilarikan suspek.

"Mangsa kedua dipercayai bekerja sebagai peniaga kelapa di kawasan Tebuk Pulai. Dia mengesahkan ternampak lima suspek bertopeng dan bersenjatakan parang semasa kejadian melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios.

"Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.