Aidiladha rezeki buat penternak lembu

Nordin (tengah) bersama sebahagian petugas yang membantu melancarkan ibadah korban di kawasan kandang ternakannya di Kampung Pasir Nering, Hulu Terengganu.
Nordin (tengah) bersama sebahagian petugas yang membantu melancarkan ibadah korban di kawasan kandang ternakannya di Kampung Pasir Nering, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Aidiladha tahun ini pasti tambah bermakna buat seorang penternak lembu di Kampung Pasir Nering di sini, apabila menerima tempahan korban paling tinggi sepanjang hampir 10 tahun ceburi bidang itu.

Nordin Mat Zain, 41, berkata, sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan termasuk lima ekor yang dijual sempena Aidiladha kali ini berbanding cuma enam ekor pada tahun lepas.

Menurutnya, bagi memastikan ibadah korban yang dijalankan di kawasan kandang ternakannya berjalan lancar dia dibantu kira-kira 20 petugas selain turut menyediakan baju bagi meriahkan lagi suasana.

"Sepanjang menjadi penternak lembu, raya haji kali ini paling banyak saya dapat tempahan. Lapan ekor disembelih di sini dan selebihnya ditumbangkan di tempat lain oleh pembeli yang turut lakukan ibadah korban serta akikah.

"Harga bermula RM550 hingga RM600 sebahagian bergantung kepada lembu. Aidiladha kali ini ibaratkan rezeki tidak terduga buat saya kerana belum pernah dapat tempahan sebanyak ini sepanjang bergelar penternak lembu.

"Bagi berkongsi kegembiraan serta kesyukuran saya dibantu hampir 20 petugas. Rezeki ini dapat dikongsikan bersama-sama mereka dan yang lain.

"Bagi meriahkan lagi suasana baju t turut disediakan kepada semua petugas, biarpun cuma sehelai baju namun nilainya bermakna.

"Petugas inilah bertungkus-lumus daripada awal hingga selesai," katanya kepada Sinar Harian di Kampung Pasir Nering, di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nordin, meningkat atau merosot permintaan sempena sambutan Aidiladha adalah lumrah dihadapi penternak lembu sepertinya dan senario itu dipengaruhi faktor ekonomi semasa kerana orang ramai perlu gunakan bagi tujuan lebih utama terlebih dahulu.